mattzzx Publish time 6-4-2024 04:04 PM

Empat keluarga diduga menjelang Aidilfitri

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/lelakimns_1712387093.jpg
Kesan kebakaran di rumah Japri. FOTO Persatuan Penduduk Flat Sentul Utama

Kuala Lumpur: Berbaki kurang seminggu umat Islam akan menyambut Aidilfitri, seramai 20 individu daripada empat keluarga berdepan dugaan berat apabila rumah mereka terjejas dalam kebakaran di Flat Sentul Utama, di sini, Khamis lalu.

Mangsa Japri Mohd Ghadzali, 44, berkata dia kini tidak memikirkan soal menyambut Aidilfitri apabila rumahnya di tingkat sembilan terbakar termasuk kelengkapan raya.

Disebabkan bencana itu katanya, rancangan mereka sekeluarga untuk pulang menyambut Aidilfitri di Sik, Kedah terpaksa dibatalkan.

"Kami sepatutnya pulang ke kampung pada Isnin ini, malah semua barangan termasuk baju dan kuih raya sudah dikemas untuk dibawa balik ke kampung.


"Namun, apakan daya semuanya dalam rumah kami musnah sekelip mata menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang.

"Memang agak sedih juga lagi-lagi hendak raya, tetapi saya anggap ini ujian dan reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui di Dewan Persatuan Penduduk Flat Sentul Utama, di sini, hari ini.

Japri yang menetap di rumah itu sejak usianya 18 tahun berkata, ketika kejadian dia dan isteri bekerja, manakala anak mereka, Adib Putra, 8, baru pulang dari sekolah.

"Ketika kejadian, anak saya ternampak asap dan api di bilik tidur utama lalu menghubungi isteri sebelum jiran kami membantu menyelamatkan anak kami keluar dengan selamat.

"Jiran juga tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kami kerana api sudah marak," katanya yang menumpang di rumah jiran.

Sementara itu, Zuraida Abd Majid, 53, yang tinggal bersebelahan dengan Japri berkata, dia terpaksa menumpang di rumah adik lelakinya di kawasan berdekatan buat sementara waktu berikutan rumahnya juga terjejas akibat kebakaran itu.

"Alhamdulillah, barangan dalam rumah masih elok tetapi saya tak boleh duduk di situ kerana pihak berkuasa perlu buat pemeriksaan pendawaian dan sebagainya untuk memastikan selamat diduduki.

"Saya rancang hendak balik ke Yan, Kedah petang ini, tetapi entahlah masih berbelah-bahagi kerana perasaan macam tidak seronok sebab memikirkan keadaan rumah.

"Walaupun rumah saya tidak terbakar, tetapi bahagian depan, siling dan dinding rumah retak serta pintu bilik hitam," katanya yang menetap di flat itu sejak 2009.

Sementara itu, Zuraidah Burhanudin, 40, yang menetap di tingkat 10 pula berkata, akibat kejadian dia dan suami bersama empat anak mereka kini menumpang di dewan berkenaan.

"Bilik air rumah saya hangus tidak boleh guna langsung dan mesin basuh terbakar selain dinding dan lantai retak.

"Persiapan raya kami ala kadar saja kerana tidak tahu duduk dewan ini sampai bila.

"Namun, kami bersyukur ramai membantu memberikan bantuan dan sokongan termasuk barangan keperluan asas dan wang ringgit daripada agensi kerajaan, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Penduduk Flat Sentul Utama," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1077899/empat-keluarga-diduga-menjelang-aidilfitri
Pages: [1]
View full version: Empat keluarga diduga menjelang Aidilfitri


ADVERTISEMENT