mattzzx Publish time 6-4-2024 11:15 AM

Kes lelaki Israel: 12 individu direman seminggu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hiasan-jail_1712371388.jpg
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Seramai 12 individu yang ditahan di hotel di Jalan Ampang, di sini, 27 Mac lalu, direman seminggu bermula kelmarin dan semalam berhubung siasatan kes penemuan enam pucuk pistol lelaki warga Israel.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiga daripada 12 individu yang ditahan membabitkan dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia.

Menurutnya, penahanan mereka menjadikan keseluruhan 16 individu ditahan bagi menjalankan siasatan terhadap suspek utama Shalom Avitan, 38; pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu Shalom.

"Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).
Lagi Berita

    Pasangan beli senjata api di Thailand, jual kepada lelaki Israel
    Lelaki Palestin dakwa diugut warga Israel dah buat laporan - Polis
    Warga Israel yang ditahan bersama senjata api dikesan hidup mewah sebaik tiba di KL
    Suami isteri pembekal senjata dan pemandu kepada warga Israel ditahan polis

"Individu terbabit ditahan dalam serbuan dijalankan di ibu negara, Johor dan Kelantan hasil risikan, siasatan dan maklumat orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, tangkapan juga dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto.

"Pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman tujuh hari bermula semalam.

"Empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 41 tahun yang ditahan di Johor itu setakat ini dipercayai berperanan membantu mendapatkan senjata api kepada suspek," katanya.

Beliau berkata, selepas itu, polis turut menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun.

"Suspek utama iaitu, lelaki warga Israel akan tamat reman esok dan kita akan meminta untuk menyambung reman lagi bagi membantu siasatan.

"Penahanan individu terbabit ada yang bagi membantu siasatan berkaitan senjata api itu dan ada yang ditahan membabitkan wang kripto," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar suspek utama memiliki enam pucuk pistol.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1077768/kes-lelaki-israel-12-individu-direman-seminggu
Pages: [1]
View full version: Kes lelaki Israel: 12 individu direman seminggu


ADVERTISEMENT