mattzzx Publish time 6-4-2024 10:27 AM

Terengganu, KL City berentap di Piala Shopee

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Piala_Shopee_1712335197.jpg
PIALA Shopee bakal menyaksikan penyertaan dua kelab masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. FOTO Ihsan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara

Kuala Lumpur: Dua kelab Liga Super, Terengganu FC dan KL City FC dipilih menggalas cabaran negara ke saingan Piala Shopee musim 2024-2025.

Pemilihan kedua-dua kelab ini berdasarkan kepada status mereka sebagai finalis Piala Malaysia 2023 dan finalis Piala FA 2023.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard dan Pengarah Sukan Terengganu, Zulfadli Rozi ketika ditemubual stesen televisyen swasta baru-baru ini.

Bagi Stanley, pasukan Lembah Klang itu menyambut baik pemilihan mereka sebagai wakil negara.

Hal ini kerana selain dapat membantu menjana pendapatan tambahan untuk KL City, ini dilihat sebagai batu loncatan untuk The City Boys kembali ke pentas Asia.

"Saya rasa AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean) mengetahui perkara ini. Saya rasa mereka sudah berbincang dengan semua pemegang taruh (termasuk) AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

"Kami sebagai kelab memang terujalah nak main (dalam kejohanan berprestij ini) sebab ada insentifnya dan pemain kita mahu bermain di peringkat Asia.

"Bagi saya, secara peribadi amat teruja tetapi lebih kepada pasukanlah. Apabila kita beritahu pemain terutama pemain senior, kita amat menantikannya kerana kita membina pasukan untuk bersaing di tahap itu," katanya.

Sementara Zulfadli yang mesra disapa Joe Rozi pula menyifatkan pemilihan Peteh sebagai perkembangan positif untuk awal musim 2024-2025.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada FAM, MFL dan semua pihak yang terlibat untuk mencadangkan nama Terengganu FC. Kita telah menerima e-mel secara rasmi pada 24 Mac yang lepas.

"Dan kita menghantar balik surat setuju untuk menyertai AFF ACC (Asean Club Championship) ini pada 25 Mac dan ditandatangani oleh tuan CEO saya sendiri, Mohd. Sabri (Abas) untuk membalas pengesahan penyertaan Terengganu FC untuk kali ini," katanya.

Piala Shopee bakal menyaksikan penyertaan dua kelab masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sementara Singapura dan Filipina pula bakal diwakili sebuah pasukan.

Manakala juara liga Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar pula bakal bersaing dalam penentuan playoff untuk merebut baki dua slot.

12 kelab yang layak akan diundi dalam kumpulan menerusi undian rasmi kumpulan. Setiap kumpulan bakal menempuh lima perlawanan dengan pasukan pertama dan kedua setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Format separuh akhir dan final kejohanan bakal menggunakan format home dan away seterusnya bakal berlangsung dari 17 Julai hingga 21 Mei tahun depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/04/1077682/terengganu-kl-city-berentap-di-piala-shopee
Pages: [1]
View full version: Terengganu, KL City berentap di Piala Shopee


ADVERTISEMENT