sfhzuraz Publish time 5-4-2024 02:40 PM

Aidilfitri: 2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang

Aidilfitri: 2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang


BERNAMA - April 5, 2024 @ 2:29pm


https://assets.bharian.com.my/images/articles/11hmKER_1712298532.jpg
Foto hiasan


BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menjangkakan lebih 2.4 juta kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang Aidilfitri, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sudah menambah anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan trafik terutama di Lebuhraya Utara Selatan.
"Berdasarkan statistik yang kami ada, kadar lalu lintas atau kenderaan yang masuk dan keluar dari Pulau Pinang pada hari biasa mencecah sehingga 1.2 juta, oleh itu kita anggarkan sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini jumlah kenderaan yang memasuki negeri ini mencecah 2.4 juta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 22 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 dan Op Selamat di Plaza Tol Juru (arah utara) di sini hari ini.
Mohamed Usuf berkata seramai 308 orang pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam Op Selamat itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengurangkan kadar nahas jalan raya.
Selain itu, beliau berkata JSPT turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) kontinjen bagi kempen rumah selamat dan pengecahan jenayah serta agensi penguat kuasa yang lain.
"Secara keseluruhan lebih 800 pegawai dan anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang raya tahun ini dan mereka bukan sahaja meningkatkan penugasan secara "omnipresent" di lokasi-lokasi panas malah turut menjalankan pemantauan serta rondaan di kawasan perumahan penduduk," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihak polis turut meningkatkan pemeriksaan dan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tumpuan di Pulau Pinang ekoran penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api di ibu negara Rabu lalu.
"Pihak polis akan lebih berwaspada dan mengambil langkah awal meningkatkan kawalan keselamatan terhadap rakyat dan pemimpin," katanya.
Rabu lalu, seorang lelaki warga Israel yang menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke negara ini ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pemeriksaan di bilik hotel itu menemukan enam pucuk senjata api yang diletakkan dalam beg miliknya.
Setakat ini, seramai lapan individu ditahan termasuk suspek utama iaitu lelaki Israel berusia 36 tahun.
Aidilfitri: 2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: Aidilfitri: 2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang


ADVERTISEMENT