mattzzx Publish time 4-4-2024 05:23 PM

Jabatan Pertanian jangka 6 tan bawang dihasilkan menerusi projek rintis di Sungkai

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bh4bbawang_1712220151.jpg
Pokok bawang varieti BAW-1 yang ditanam pada fasa kedua pada 8 Februari lalu dijangka akan dituai pada 17 April ini. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi

TANJUNG MALIM: Petani bawang pertama di Malaysia, Tan Cheng Choy, bangga dapat menyumbang tenaga dalam projek rintis tanaman itu yang berjaya menuai hasil pertama sebanyak 2.3 tan di Kampung Ladang Bikam, dekat Sungkai, di sini, semalam.

Mengimbas kembali detik awal penyertaannya, Cheng Choy atau mesra disapa Ah Cheng, 56, berkata, dia dipelawa oleh Jabatan Pertanian hujung tahun lalu untuk menguji penanaman bawang varieti BAW-1 dan BAW-2 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi tujuan komersial.

"Sebelum ini saya mengusahakan tanaman sengkuang selama 30 tahun dengan bimbingan Jabatan Pertanian, apabila mereka pelawa saya untuk menjadi perintis projek tanaman bawang saya terus terima kerana mahu menyokong agenda keterjaminan makanan," katanya ketika ditemui di ladangnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan tanaman bawang dengan penyediaan 75 batas itu membabitkan tiga fasa penanaman, didahului fasa pertama menggunakan 1.5 tan benih bebawang pada 24 Januari lalu.


Katanya, fasa kedua menggunakan 0.25 tan benih bebawang pada 8 Februari lalu dan fasa ketiga ditanam pada 16 Februari lalu menggunakan 161 dulang anak benih bawang.

"Tanaman menggunakan benih bebawang mengambil tempoh masa selama 65 hingga 75 hari lepas tanam sebelum hasil boleh dituai, manakala jika sumber benih dalam bentuk anak benih, masa yang diambil lebih lama iaitu 75 hingga 85 hari selepas dipindahkan dari dulang semaian.

"Tanaman bawang perlu disiram setiap hari selama dua bulan hingga hasilnya mencambah, manakala baja perlu ditabur sekali setiap dua minggu.

"2.3 tan bawang merah varieti BAW-1 yang dituai semalam adalah hasil tanaman pada fasa pertama dahulu," katanya memaklumkan ia kini sedang dikeringkan dalam bangsal yang diubahsuai kepada rumah pengeringan bawang.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Batang Padang, Siti Ruhaida Che Ani berkata, tanaman bawang fasa kedua akan dituai pada 17 April ini, manakala fasa ketiga akan dituai pada 1 Mei bergantung kepada keadaan pokok.

"Bawang yang dituai perlu dikeringkan selama 7 hingga 10 hari bergantung kepada cuaca persekitaran.

"Selepas selesai pengeringan, bawang boleh disimpan pada suhu bilik dan bertahan sehingga empat bulan.

"Jabatan Pertanian menyasarkan pengeluaran keseluruhan enam tan metrik bawang merah melalui projek rintis ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengambil alih pengurusan hasil bawang terbabit nanti untuk dipasarkan ke beberapa outlet jualan FAMA.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1231561/jabatan-pertanian-jangka-6-tan-bawang-dihasilkan-menerusi-projek
Pages: [1]
View full version: Jabatan Pertanian jangka 6 tan bawang dihasilkan menerusi projek rintis di Sungkai


ADVERTISEMENT