mattzzx Publish time 4-4-2024 04:30 PM

Bukan baharu tarikh tilawah diubah-ubah

https://assets.bharian.com.my/images/articles/majlis_1712216609.jpg
KUALA LUMPUR: Tarikh bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pernah bertukar-tukar beberapa kali sebelum ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata bagaimanapun pada tahun ini, ada pihak yang cuba mensensasikan perkara itu sehingga wujud tuduhan kononnya negara tidak lagi menganjurkan majlis tilawah al-Quran, sedangkan program itu sentiasa diperkukuh dalam pelbagai bentuk dari semasa ke semasa.

"Ini (tilawah) bukan perkara baharu, malah tilawah al-Quran diadakan setiap tahun dan menjadi satu program besar di peringkat negara.

"Ada beberapa pertukaran tarikh itu sebenarnya sudah berlaku pada tahun-tahun yang lalu, namun ada pihak yang cuba mensensasikannya (pada tahun ini)," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program World #QuranHour di Masjid Negara di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa pemilik akaun Facebook dan X menyebarkan tuduhan kononnya negara tidak lagi menganjurkan majlis tilawah al-Quran dan sebaliknya menumpukan kepada penganjuran konsert.

Semakan juga mendapati hantaran itu menggunakan ayat seakan sama mengenai isu itu tetapi daripada pemilik akaun berlainan.

Semalam, Zulkifli memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober.

Mengenai kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, semalam bahawa beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba memesongkan fakta mengenai majlis tilawah al-Quran itu, Zulkifli berkata, ruang perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk melakukan tugas.

"Bagaimanapun, di peringkat Hal Ehwal Agama, kami akan terus memberikan kefahaman, pencerahan dan penegasan kepada masyarakat supaya kita mementingkan perpaduan dan menghormati satu sama lain," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1231529/bukan-baharu-tarikh-tilawah-diubah-ubah
Pages: [1]
View full version: Bukan baharu tarikh tilawah diubah-ubah


ADVERTISEMENT