mattzzx Publish time 4-4-2024 12:52 PM

Bazar Ramadan 'lubuk' pengemis warga asing

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0404rsngemis_1712205285.jpg
Sebahagian daripada pengemis dipercayai warga asing dilihat meminta sedekah di sekitar bazar Ramadan di Lebuh Queen di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Georgetown: Tanpa rasa malu apabila sekumpulan pengemis dipercayai warga asing menjadikan bazar Ramadan di Lebuh Queen, di sini, sebagai lokasi untuk menagih simpati daripada orang ramai.

Bukan hanya warga emas, malah terdapat juga kanak-kanak seawal usia lima tahun dilihat mengemis dengan pelbagai gelagat di sepanjang laluan di bazar itu.

Peniaga martabak yang mahu dikenali sebagai Abdul, 39, berkata pengemis warga asing itu sudah mengemis di bazar berkenaan sejak hari pertama Ramadan dan ia adalah situasi biasa setiap kali bulan puasa.

Menurutnya, dia mendapati jumlah mereka sekitar 10 individu pada hari bekerja dan boleh meningkat sehingga 20 orang pada cuti hujung minggu.


"Kami terima banyak aduan daripada pengunjung yang tidak selesa dengan keadaan itu, dan ada pelanggan yang sedang menunggu giliran, tidak jadi beli makanan apabila dikerumuni kumpulan kanak-kanak meminta wang.

"Kami sudah adu kepada penganjur bazar dan pihak berwajib, malah perkara ini sudah tular di media sosial awal Ramadan lalu, namun tiada tindakan.

"Bukannya kita kedekut, tetapi tindakan mereka bukan sahaja mengganggu orang awam, tetapi beri persepsi tidak baik dalam kalangan pelancong," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati sekumpulan pengemis warga asing selain dua warga tempatan sudah berada di lokasi seawal 4 petang sebelum meraih simpati pengunjung.

Ada dalam kalangan mereka bertindak duduk di atas jalan bersama anak yang sedang tidur, selain menunggu pemberian wang oleh orang ramai sambil menunjukkan bekas wang.

Manakala, beberapa pengemis lain dilihat melarikan diri selepas menyedari gelagat mereka diperhatikan.

Tidak kurang juga pengemis kanak-kanak yang bertindak menarik tangan pengunjung seolah-olah memaksa supaya diberikan wang.

Situasi itu membuatkan pengunjung dari Sungai Pinang, Syarifah Azman, 50, berasa tidak selesa ketika berjalan di gerai bagi membeli juadah.

Dia yang hadir bersama tiga ahli keluarganya berkata, ketika menanti giliran bagi membeli aneka kuih, tangannya ditarik kanak-kanak lelaki sebelum meminta wang dan tidak fasih berbahasa Melayu .

"Saya sangka anak saya yang tarik tangan, rupa-rupanya kanak-kanak itu (pengemis) sambil menunjukkan bekas wang.

"Bukan tidak mahu bagi (wang), tetapi saya sudah beri kepada seorang, selepas itu empat lagi kanak-kanak (pengemis) datang meminta wang. Keadaan ini amat tidak selesa dan kami rasa tidak selamat," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pengemis warga asing yang tidak fasih berbahasa Melayu ketika ditemui mengakui lokasi terbabit mudah bagi mendapatkan wang kerana menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, pada awal Ramadan lalu, dia pernah mendapat wang sebanyak RM400 untuk tempoh hampir empat jam mengemis di situ bersama anaknya berusia enam tahun.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) Pulau Pinang berhubung isu berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1077137/bazar-ramadan-lubuk-pengemis-warga-asing

sfhzuraz Publish time 4-4-2024 01:02 PM

mana pbt?
Pages: [1]
View full version: Bazar Ramadan 'lubuk' pengemis warga asing


ADVERTISEMENT