mattzzx Publish time 3-4-2024 12:36 PM

Inter Milan tak panik penyudah Martinez

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/Lautaro-Martinez.jpg
MARTINEZ (kiri) gagal memahat nama selaku penjaring ketika Inter mencatat kemenangan 2-0 ke atas Empoli awal pagi semalam. – AFP

MILAN – Pendahulu Serie A, Inter Milan tidak terlalu risau walaupun kapten, Lautaro Martinez terus merekodkan kemarau jaringan ketika pasukan itu menewaskan Empoli 2-0 di Stadium San Siro awal pagi semalam.

Penolong jurulatih Inter, Massimiliano Farris mengakui Martinez agak kepenatan selepas mengharungi jadual padat bersama Argentina dalam aksi persahabatan antarabangsa ming­gu lalu dan memerlukan sedikit masa untuk kembali menemui sentuhannya.

“Saya tidak pernah risau de­ngan kualiti yang ada pada Martinez, tetapi bukan mudah untuk mana-mana penyerang kekal kon­sisten. Mungkin ketika ini penyudahnya agak tumpul, tetapi dia sentiasa bekerja keras buat pasukan.

“Bukan Martinez sahaja, tapi jentera serangan lain seperti Marcus Thuram, Marko Arnautovic dan Alexis Sanchez turut membantu pasukan bagi meri­ngankan sedikit beban yang digalas oleh Martinez,” katanya.

Pada aksi tersebut, skuad Ne­razzurri terpaksa mengharapkan sentuhan penyudah pemain pertahanan, Federico Dimarco dan Sanchez untuk meraih tiga mata sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Serie A musim ini.

Sementara itu, Farris turut memuji impak yang dipamerkan oleh pemain tengah, Nicolo Barella yang mengharungi kempen terbaiknya dengan menjadi tunjang utama pasukan dalam misi mereka menjulang gelaran Scudetto hujung musim nanti.

“Saya rasa Barella berada dalam kelas yang tersendiri dan sentiasa mengawal tempo selain konsisten setiap perlawanan. Secara keseluruhan, saya lihat aksi pada babak kedua lebih baik berbanding pada separuh masa pertama,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/04/03/inter-milan-tak-panik-penyudah-martinez/
Pages: [1]
View full version: Inter Milan tak panik penyudah Martinez


ADVERTISEMENT