sfhzuraz Publish time 3-4-2024 12:05 PM

Ketibaan Aidilfitri undang kesedihan buat suami isteri

Ketibaan Aidilfitri undang kesedihan buat suami isteri


Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0403rssakit_1712116179.jpg
Md Daud Ahmad menyuap minuman kepada isterinya, Khalijah Hashim yang menghidap kanser payu dara tahap empat hingga tidak dapat bergerak. FOTO ZULIATY ZULKIFFLl



Kuala Nerang: Kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi mengundang kesedihan buat suami isteri kerana tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan persiapan seperti orang lain.
Keadaan bertambah pilu apabila si isteri terlantar akibat kanser payu dara tahap empat, manakala suaminya baru bekerja sebagai buruh di tempat baharu.
Md Daud Ahmad, 63, berkata dia risau apabila rumah mereka bakal bergelap kerana tunggakan bil elektrik RM800 sejak tiga bulan lalu selain bil air juga tertunggak berjumlah lebih RM400.
Menurutnya, dia yang bekerja di Jitra juga terpaksa meninggalkan isteri, Khalijah Hashim, 53, seorang diri di rumah, tetapi akan memasak dahulu termasuk menyuap makanan untuk wanita itu.
"Setiap tiga hari sekali, saya terpaksa tebalkan muka berhutang bagi membeli barangan keperluan asas seperti ikan serta sayur dan barangan lain seperti gula dan telur kerana tak mampu.
"Akibatnya, hutang bertambah setiap hari sehingga mencecah lebih RM600 kerana itu saja yang terdaya dilakukan untuk makan minum mereka, tambahan dua anak yang sudah berkahwin pun hidup susah.
"Nasib baik peniaga kedai runcit itu tiada masalah untuk membenarkan saya berhutang, tetapi saya malu. Kalau ada duit, saya bayar sikit-sikit," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Md Daud berkata, isterinya menghidap kanser payu dara sejak 2015 dan kini terlantar selepas sel kanser itu terus menyerang menyebabkan dia tidak dapat bergerak.
Menurutnya, segala tugas harian seperti memasak, mencuci baju dan pinggan dilakukan olehnya walaupun terpaksa bangun awal.
"Sejak sel kanser isteri menyerang kembali, dia tidak berselera makan dan hanya bergantung pada ubat morfin yang diberi oleh doktor.
"Saya juga perlu membawa isteri menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sebulan sekali.
"Kami terpaksa menyewa kereta ke Pulau Pinang dan kadang-kadang kalau isteri ditahan di wad dua atau tiga hari menyebabkan sewa kereta naik sehingga RM400," katanya.


Disiarkan pada: April 3, 2024 @ 11:50am
Ketibaan Aidilfitri undang kesedihan buat suami isteri (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Ketibaan Aidilfitri undang kesedihan buat suami isteri


ADVERTISEMENT