mattzzx Publish time 2-4-2024 03:02 PM

Sampah di KL meningkat 300 tan sehari kepada 2,800 tan pada Ramadan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/Alam_Flora270324_1712038108.jpg
Setiap hari pada Ramadan jumlah sampah dari KL yang dilupuskan meningkat kepada 2,800 tan berbanding 2,500 tan pada hari biasa: Alam Flora. - Foto hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan kutipan sisa pepejal sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan berbanding tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali, berkata jumlah itu merangkumi ketiga-tiga kawasan konsesi Alam Flora iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Katanya, makanan yang tidak habis dijual di bazar-bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama peningkatan kutipan sisa selain plastik dan polisterin iaitu bungkusan makanan.

"Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa bagi kawasan Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini.

"Menurut statistik dari tahun 2019 hingga tahun 2024, trend peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan, bagaimanapun 66 peratus daripada sampah makanan itu boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adam berkata, juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dijual dan akhirnya terpaksa dibuang ke tong sampah sebagai sisa makanan.

"Bagaimanapun Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tetapi kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing.

"Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan, diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas.

"Letakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa," katanya.

Sementara itu, Alam Flora memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230729/sampah-di-kl-meningkat-300-tan-sehari-kepada-2800-tan-pada-ramadan
Pages: [1]
View full version: Sampah di KL meningkat 300 tan sehari kepada 2,800 tan pada Ramadan


ADVERTISEMENT