mattzzx Publish time 2-4-2024 12:53 PM

Keutamaan Sarjit bentuk skuad baharu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sjt_1712031670.jpg
PEMAIN hoki negara gigih jalani latihan. FOTO MHC

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh menegaskan keutamannya ketika ini untuk membentuk pasukan baharu yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

Namun pada masa sama, beliau tidak menafikan akan berusaha memperbaiki ranking Speedy Tigers yang kini berada di kedudukan ke-13 dunia berbanding pernah menduduki ranking kesembilan dunia, tahun lalu.

"Sekarang ini kami sedang melakukan penilaian ke atas setiap pemain. Keutamaan saya untuk membentuk pasukan terlebih dahulu dan kemudian jika ada keputusan yang baik, pastinya ia bagus untuk pasukan.

"Tapi jika sebaliknya, kami perlu terus kepada usaha membentuk pasukan sehinggalah ke Sukan Asia (2026)," katanya.


Jelas Sarjit, beliau tidak dapat memberikan sebarang sasaran tertentu dalam setiap kejohanan yang akan disertai anak buahnya kerana rata-rata pemain membarisi skuad kebangsaan ketika ini adalah muka baharu.

Ia termasuklah kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 11 Mei depan dekat Ipoh yang juga kejohanan pertama di bawah bimbingannya.

"Kami tak boleh beritahu sasaran tertentu kerana anda perlu melihat kepada pemain yang terpilih. Sebab itulah seperti saya katakan sebelum ini, kami perlu bentuk pasukan terlebih dahulu. Sasaran utama adalah di Sukan Asia 2026. Kami ada dua tahun tujuh bulan untuk melakukan persediaan ke temasya itu," katanya.

Menerusi pengumuman senarai 30 pemain yang terpilih menjalani latihan fasa kedua semalam, Sarjit membariskan rata-rata barisan pemain muda, malah enam pemain tidak pernah melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan.

Mereka adalah Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu iaitu Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2024/04/1076442/keutamaan-sarjit-bentuk-skuad-baharu
Pages: [1]
View full version: Keutamaan Sarjit bentuk skuad baharu


ADVERTISEMENT