mattzzx Publish time 2-4-2024 12:16 PM

Tekong bot Vietnam tutup mulut enggan dedah dalang

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0402rsapmm_1712030420.jpg
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kelantan Komander Maritim Amiludin Yenggah bersama anggotanya meninjau dan membuat pemeriksaan rutin kapal-kapal nelayan di perairan Terengganu. FOTO BERNAMA

Pasir Puteh: Selain bot dilengkapi dengan peralatan canggih yang dapat mengesan lokasi ikan, tekong kapal nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara juga tutup mulut dan enggan mendedahkan siapa dalang di sebalik tindakan nekad mereka mencuri hasil laut negara.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Komander Amiludin Yenggah berkata mereka sanggup menceroboh perairan negara sehingga ke Pahang.

Katanya, ada bot nelayan Vietnam sanggup menceroboh ke perairan Pahang semata-mata untuk mencuri hasil laut negara.

"Itu menyebabkan mereka nekad menceroboh sedangkan mereka tahu ia menjadi kesalahan. Pada masa sama, hasil ikan di perairan negara mereka sudah tiada yang menyebabkan Malaysia menjadi sasaran," katanya ketika ditemui ketika operasi pemeriksaan bot nelayan di perairan negara baru-baru ini.


Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bekalan ikan di Malaysia yang banyak turut menjadi faktor ia menjadi tumpuan nelayan asing.

"Kita tidak mahu suatu hari nanti nasib Malaysia sama sebagaimana mereka iaitu hasil ikan yang berkurangan dan disebabkan itu kawalan perairan negara sentiasa diperketatkan," katanya.

Pada masa sama, Amiludin berkata, nelayan asing yang ditahan juga enggan memberi kerjasama dengan mendedahkan siapa di belakang mereka sehingga mereka berani menceroboh perairan negara.

"Mereka tidak mendedahkan walaupun ditangkap, mungkin mereka bimbang nasib keluarga di Vietnam yang terancam.

"Disebabkan itu, kita sukar menjejak dalang di sebalik pencerobohan nelayan asing," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1076432/tekong-bot-vietnam-tutup-mulut-enggan-dedah-dalang
Pages: [1]
View full version: Tekong bot Vietnam tutup mulut enggan dedah dalang


ADVERTISEMENT