mattzzx Publish time 1-4-2024 04:33 PM

Catu mandi sejak lima hari lalu

https://assets.bharian.com.my/images/articles/catu_1711960027.jpg
Zulkarnin Che Zakaria, memunggah bekalan air dari telaga rumahnya di Kampung Pak Keral, Tumpat, hari ini, untuk dibawa ke kedai makan bagi kegunaan pelanggan serta membasuh pinggan mangkuk sejak empat hari lalu. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Susulan gangguan bekalan air yang menjejaskan 48,635 akaun di beberapa kampung di Pasir Mas dan Tumpat, penduduk kini mengambil inisiatif sendiri termasuk membeli air mineral untuk kegunaan harian.

Malah, ada yang terpaksa memunggah bekalan air dari rumah saudara-mara dan jiran untuk keperluan harian.

Bagi Zulkarnin Che Zakaria, 50, dari Kampung Pak Keral, di sini, gangguan air sudah berlaku sejak empat hari lalu dan dalam tempoh itu, dia dan sembilan ahli keluarganya menggunakan air dari telaga tiub untuk membersihkan diri manakala untuk makan minum pula, dia terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli air.

"Sebelum ini pernah berlaku gangguan bekalan air tetapi tidaklah berlarutan beberapa hari seperti ini dan telaga di hadapan rumah hanya digunakan jika berdepan dengan masalah seperti ini.

"Bagaimanapun, air telaga ini agak berbau dan memang tidak boleh digunakan untuk makan minum menyebabkan kami perlu sediakan kos tambahan untuk membeli air dari mesin air bertapis," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Zulkarnin berkata, gangguan air yang berterusan itu turut menjejaskan operasi kedai makannya di Kampung Jubakar Pantai, di sini dan dia terpaksa memunggah bekalan air dari telaga rumahnya untuk dibawa ke premis itu bagi kegunaan pelanggan serta membasuh pinggan mangkuk.

Katanya, sepanjang Ramadan, dia mula membuka operasi kedai makannya jam 6 petang dan beberapa jam sebelum itu dia dengan dibantu anak serta pekerja akan mula memunggah bekalan air menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Memang sangat susah apabila tiada air begini dan saya bercadang untuk meminta bekalan air dari pihak berkuasa tempatan agar datang mengisi air dalam tong yang disediakan," katanya.

Terdahulu media melaporkan, gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu akibat musim kemarau yang berterusan menyebabkan berlaku penurunan paras air yang kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi kenyataan media berkata, gangguan itu juga disebabkan kerosakan dua unit pamp akibat mendapan pasir dan sampah malah pihaknya sedang menjalankan beberapa inisiatif dan dijangka keadaan kembali pulih menjelang Aidilfitri nanti.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas, Muhammad Syafiq Aiman Abd Halim, 25, berkata mereka sekeluarga terpaksa mencatu segala aktiviti yang menggunakan air sebagai langkah penjimatan.

"Sebelum ini memang pernah berdepan dengan gangguan bekalan air tapi kali ini sangat melampau kerana ia berlarutan sejak lima hari lalu dan kami enam beranak perlu berjimat menggunakan air.

"Pinggan mangkuk yang digunakan ketika berbuka puasa dan sahur juga mengambil masa untuk dicuci dan jika gangguan air ini berterusan hingga Aidilfitri, memang sangat bermasalah bagi kami," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230417/catu-mandi-sejak-lima-hari-lalu
Pages: [1]
View full version: Catu mandi sejak lima hari lalu


ADVERTISEMENT