mattzzx Publish time 1-4-2024 04:29 PM

'NGO perlu lihat manfaat projek LRT di Pulau Pinang'

https://assets.bharian.com.my/images/articles/rwgrw_Kon_Yeow_1711958629.jpg
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGETOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih membantah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang diminta melihat manfaat projek itu khususnya dari segi pembangunan sosioekonomi kepada rakyat dalam jangka panjang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata projek itu melalui pelbagai proses dan sesi libat urus panjang membabitkan orang ramai serta NGO sebelum diluluskan.

"Kita harap NGO yang membantah projek LRT itu dapat melihat projek ini secara keseluruhannya, malah projek itu disokong rakyat dalam sesi libat urus melebihi 90 peratus.

"Ini adalah masa untuk pelaksanaan, sekiranya ada isu, ia akan diuruskan syarikat dilantik untuk melaksanakan projek itu dan kami berharap mereka yang masih ragu-ragu dapat melihat gambaran lebih besar," katanya pada sidang akhbar sempena Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2024 di pejabatnya di sini, hari ini.


Beliau mengulas laporan media tempatan berhubung beberapa NGO alam sekitar termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang pernah meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pembangunan LRT di negeri ini kerana mendakwa ia membabitkan kos tinggi selain anggaran penggunaan yang berlebihan.

Kon Yeow berkata, beliau sedar projek LRT itu tidak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan lalu lintas, namun ia satu usaha dan permulaan untuk kerajaan negeri membantu rakyat yang saban hari terpaksa berdepan isu lalu lintas.

Menyentuh kos projek yang dikatakan agak tinggi, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi, berkata kos kira-kira RM10.5 bilion itu diambil kira dari segi sistem dan reka bentuk tren yang akan digunakan.

Kos berkenaan juga, katanya akan ditentukan selepas permintaan untuk cadangan (RFP) dijalankan dan dimuktamadkan.

Jumaat lalu, Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan pada 22 Mac lalu.

Jajaran LRT Mutiara yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.

Mengenai Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2024, Kon Yeow berkata, ia akan berlangsung pada 15 Disember ini di Aspen Vision City di Batu Kawan dengan larian melintasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau menjangka 30,000 peserta mengambil bahagian dalam maraton yang julung kali diadakan di tanah besar dengan tiga kategori pertandingan iaitu maraton penuh (42km), separuh maraton (21km) dan larian 10km.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230406/ngo-perlu-lihat-manfaat-projek-lrt-di-pulau-pinang
Pages: [1]
View full version: 'NGO perlu lihat manfaat projek LRT di Pulau Pinang'


ADVERTISEMENT