mattzzx Publish time 1-4-2024 12:09 PM

'Warga asing rela kahwini wanita warga emas demi lesen perniagaan'

https://assets.bharian.com.my/images/articles/gresen_1711943962.jpg
Azhar (kiri) dan Ahmad Safri Husnaini ketika melawat kemudahan kuanter di Jabatan Imigresen di UTC.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Terengganu mengesan ada lelaki warga asing sanggup mengahwini wanita tempatan termasuk warga emas di negeri ini, demi menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan, terutama lesen perniagaan.

Pengarah Imigresen Terengganu, Azhar Abd Hamid, berkata wanita tempatan bersuamikan warga asing itu, biasanya akan diabaikan selepas semua kemudahan termasuk lesen perniagaan diperoleh mereka.

Katanya, lelaki warga asing akan mengabaikan tanggungjawab dan hidup berasingan selepas semua kemudahan dibuat atas nama isterinya diperoleh.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada di antara wanita tempatan bersuamikan warga asing hanya diberi wang perbelanjaan sebanyak RM300 sebulan.


"Taktik menjadikan wanita tempatan sebagai mangsa kepentingan peribadi lelaki warga asing itu dikhuatiri semakin meluas dalam kalangan masyarakat dan sukar untuk dibendung," katanya kepada media semalam.

Terdahulu Azhar yang akan mengakhiri jawatan sebagai Pengarah Imigresen selepas dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri berkuat kuasa Rabu ini, mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mat Amin Hassan dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Safri Husnaini Mohamed.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, JIM negeri mengesan ada kes lelaki warga asing menyasar wanita tempatan sebagai mangsa, malah ada di antaranya warga emas.

"Kita bimbang jika keadaan ini berterusan, lebih ramai lagi wanita tempatan menjadi mangsa untuk kepentingan diri sendiri warga asing," katanya.

Azhar menambah, kebanyakan wanita yang terbabit dalam kes itu enggan membubarkan perkahwinan atas alasan tiada siapa yang akan menanggung mereka jika berpisah dengan suami warga asing

Sejak Januari tahun ini, katanya, sebanyak 61 perkahwinan baharu membabitkan wanita tempatan dan warga asing didaftarkan di Terengganu, manakala seramai 192 pasangan memperbaharui Pas Lawatan Sosial.

Tahun lalu, katanya, sebanyak 925 perkahwinan dengan warga asing direkodkan merangkumi 73 kes perkahwinan baharu dan 852 permohonan lanjutan pas pasangan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230269/warga-asing-rela-kahwini-wanita-warga-emas-demi-lesen-perniagaan
Pages: [1]
View full version: 'Warga asing rela kahwini wanita warga emas demi lesen perniagaan'


ADVERTISEMENT