mattzzx Publish time 1-4-2024 11:32 AM

'Kerajaan negeri hanya minta hentikan aktiviti hiburan, bukannya tutup ekspo'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Screenshot_2024-04-01_100319_diva_aa_1711937227.jpg
LAPORAN terdahulu Harian Metro

Alor Setar: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan supaya penganjur menutup sepenuhnya operasi Karnival Fiesta Raya Baling 2024, sebaliknya hanya perlu menghentikan aktiviti hiburan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, berkata operasi karnival itu boleh diteruskan namun penganjur memilih untuk menutup karnival berkenaan.

"Pilihan kepada penganjur, bukan paksaan untuk tutup karnival berkenaan, kerajaan negeri hanya menegur dan minta hentikan aktiviti yang tidak bersesuaian dengan Ramadan sahaja.

"Kita tegaskan kepada penganjur hentikan pengisian program yang tidak sihat seperti hiburan, bukannya tutup ekspo itu," katanya ketika dihubungi di sini.


Mansor berkata, pihaknya bersimpati kepada peniaga yang terbabit dalam karnival itu dan percaya keputusan penganjur menutup karnival itu selepas meneliti beberapa kriteria memandangkan lokasi penganjuran kurang mendapat sambutan.

"Kita simpati terhadap peniaga namun penganjur sepatutnya tahu batas-batas kerana kita sudah tegaskan malah surat arahan Pihak Berkuasa Tempatan kepada penganjur untuk hormati Ramadan," katanya.

Terdahulu tular di media sosial, video aksi Azwan Ali atau Diva AA bersama beberapa orang lelaki lain menari ala dangdut di atas pentas dengan disaksikan pengunjung karnival berkenaan.

Turut tular keluhan peniaga yang menangis apabila karnival berkenaan ditutup kerana didakwa mengalami kerugian.

Dalam pada itu, Mansor berharap Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak diheret bersama dalam insiden berkenaan.

"Selaku Exco berkaitan, saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab kerana isu ini bawah portfolio saya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1076039/kerajaan-negeri-hanya-minta-hentikan-aktiviti-hiburan-bukannya-tutup-ekspo
Pages: [1]
View full version: 'Kerajaan negeri hanya minta hentikan aktiviti hiburan, bukannya tutup ekspo'


ADVERTISEMENT