mattzzx Publish time 31-3-2024 01:52 PM

'Hadiah telekung, kek terakhir buat ibu'

https://assets.bharian.com.my/images/articles/3hmqif2_1711863044.jpg
Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni. - Foto Facebook MRSM Tun Ghafar Baba.

TELUK INTAN: Pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand semalam, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, menghadiahkan kek dan telekung kepada ibunya sebagai kejutan ulang tahun kelahiran, baru-baru ini.

Noor Aishah Abdul Latif, 49, berkata, anaknya yang dipanggil Aqif itu memberikan hadiah paling istimewa sempena hari lahirnya pada 12 Mac lalu.

Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu bekerja sambilan semasa cuti semester di New Zealand dan menghantar hadiah berkenaan menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran.

Megat Ashman Aqif adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka.


"Arwah buat kejutan, dia hantar kek dan telekung. Saya katakan mahal pemberiannya itu dan menasihatkan dia menyimpan duit untuk kegunaan di sana tapi dia kata tidak mengapa.

"Baru ini dia beritahu ada kirim duit untuk saya. Saya katakan tidak perlu beri pada saya, saya yang sepatutnya hantar duit untuk dia. Dia kata Aqif nak berkat, minta saya doakan dia. Dia memang anak yang baik, apa-apa pesanan dia akan jawab 'ya ibu, ya ibu'.

"Aqif hubungi saya menerusi panggilan video pada Selasa lalu. Dia maklumkan ada peperiksaan pada Khamis, minta saya doakan dia," katanya yang ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melayu Langkap di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Julai tahun lalu ketika menghantar anaknya itu menyambung pengajian dalam bidang perdagangan di University of Canterbury, Christchurch, New Zealand.

"Arwah rajin bersembang, sepanjang belajar di sana dia hubungi saya setiap minggu bercerita aktivitinya, kadang-kadang hampir sejam bersembang. Kita tak rasa dia jauh.

"Semestinya sebagai ibu, apa yang berlaku ini amat menyedihkan. Allah pinjamkan dia selama 21 tahun dan ambil Aqif dalam Ramadan," katanya tidak dapat menahan air mata.

Noor Aishah berkata, anaknya itu ada menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air beraya bersama namun beliau menasihati Aqif tidak berbuat demikian kerana baru berada di sana.

Beliau mendapat khabar duka itu daripada bekas suaminya, Megat Irman Jefni Megat Khas Hussaini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Kemalangan membabitkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan semalam mengorbankan Megat Ashman Aqif dan Wan Nur Adlina Alisa yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga lagi pelajar yang cedera iaitu Nur Firas Wafiyyah, Lya Issable Walton dan Muhamad Faris Mohd Fairusham diterbangkan ke Hospital Christchurch di South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1229987/hadiah-telekung-kek-terakhir-buat-ibu
Pages: [1]
View full version: 'Hadiah telekung, kek terakhir buat ibu'


ADVERTISEMENT