sfhzuraz Publish time 31-3-2024 11:21 AM

Kedah akan bantu peniaga bazar terjejas ribut

Kedah akan bantu peniaga bazar terjejas ribut


Oleh Hamzah Osman - Mac 31, 2024 @ 10:55am bhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/ributt_1711853695.jpg
Sebahagian khemah Bazar Syawal di parkir Kompleks Pekan Rabu, Kuah, Langkawi rosak dilanda ribut. - Foto NSTP/Hamzah Osman



LANGKAWI: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada peniaga Bazar Ramadan Pelancongan (BRP) dan Bazar Syawal (BS) yang terjejas, akibat ribut di sini, awal pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata buat masa ini Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) telah diarah membersihkan sisa khemah yang rosak.
"Saya difahamkan ribut kuat itu menyebabkan berlaku kerosakan kepada 200 khemah membabitkan peniaga BRP dan BS di Kuah serta Padang Matsirat, malah ada di antara kerosakan khemah terbabit sudah tidak boleh diperbaiki.
"Disebabkan jumlah peniaga yang terjejas besar, kita akan bincang di peringkat negeri untuk melihat bentuk sumbangan yang wajar diberikan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan di Surau Taman Langkawi, di sini, malam tadi.
Mansor berkata, ketika ini pihak kontraktor yang menyediakan tapak BRP dan BS bersedia melakukan pembersihan dalam tempoh tiga hari, namun kerajaan negeri mahukan kerja-kerja itu disiapkan dalam sehari.
"Pihak MPLBP diarah melakukan pemantauan supaya kerja pembersihan dan pembaikan kepada khemah yang rosak dapat dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan peniaga meraih rezeki menjelang saat-saat akhir Ramadan.
"Bagi mempercepatkan proses pemulihan akibat bencana itu, peniaga BS yang terjejas dibenarkan memasang khemah sendiri supaya aktiviti jual beli dapat berjalan seperti biasa," katanya.
Yang turut hadir, Yang Dipertua MPLBP, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.
Semalam, media melaporkan sebanyak 135 khemah BRP dan 30 khemah BS di pekan Kuah di sini, rosak selepas dilanda ribut pada jam 4 pagi.
Keseluruhannya BRP menempatkan 220 khemah, manakala BS (128 khemah).
Kedah akan bantu peniaga bazar terjejas ribut (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: Kedah akan bantu peniaga bazar terjejas ribut


ADVERTISEMENT