Vellfire Publish time 26-3-2024 09:39 PM

Pameran ‘Malaysian Borneo Unveiled: Harmony of Cultures, Nature and Adventure’ di Paris

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240326/kch-ub260324-hh-sfcparis-p1.jpg

Len Talif memeriksa persiapan pameran, menekankan sokongan kerajaan untuk mempamerkan warisan dan pemuliharaan alam sekitar Sarawak.
KUCHING: Delegasi Malaysia yang diketuai Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh menyertai pameran tiga hari ‘Malaysian Borneo Unveiled: Harmony of Cultures, Nature and Adventure’ yang diadakan di Secur Hall, Paris.
Pameran anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Sarawak itu diadakan dari 25 hingga 27 Mac 2024 dan merupakan acara sampingan sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO Ke-219.
SFC menerusi kenyataan pada Isnin berkata, pameran itu bertujuan melibatkan perwakilan melalui paparan bertenaga, pameran interaktif dan perbincangan yang menonjolkan gabungan harmoni pelbagai budaya dan khazanah semula jadi di rantau ini.
“Objektif utama adalah untuk memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap warisan budaya, landskap dan biodiversiti rantau ini.
”Ia juga bagi menggalakkan amalan pelancongan mampan dan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan,” ujar SFC dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, sepanjang tiga hari pameran tersebut, pengunjung dipersembahkan dengan pakaian berwarna-warni, aksesori dan paparan video yang mempamerkan keharmonian budaya, keajaiban alam dan landskap pengembaraan negeri.
Pameran ini jelasnya, sejajar dengan mandat UNESCO yang meraikan warisan budaya pelbagai dan mempromosikan pembangunan mampan melalui usaha pemuliharaan.
Dengan memupuk kesedaran dan penghargaan, acara itu menggalakkan dialog antara budaya, sekali gus menyumbang kepada misi UNESCO untuk mempromosikan keamanan dan saling menghormati, ujarnya.
Turut diadakan, majlis resepsi pada 26 Mac 2024 yang mengalu-alukan sehingga 100 peserta, dengan Len Talif sebagai tetamu kehormat.
“Malam pameran dan resepsi terbukti sebagai acara yang memperkaya dan memberi inspirasi, membawa perwakilan bersama-sama meraikan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi dan usaha pemuliharaan Sarawak dan Malaysia.
”Sarawak berhasrat terus memupuk kesedaran dan tindakan yang lebih besar ke arah pelancongan mampan dan pemuliharaan di rantau ini, dan menyasarkan Taman Negara Niah untuk dicatatkan sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS) pada 2024,” katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/26/pameran-malaysian-borneo-unveiled-harmony-of-cultures-nature-and-adventure-di-paris
Pages: [1]
View full version: Pameran ‘Malaysian Borneo Unveiled: Harmony of Cultures, Nature and Adventure’ di Paris


ADVERTISEMENT