mattzzx Publish time 26-3-2024 03:23 PM

Garrido belum ada ilham barisan idaman

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/skuadb23_1711432579.jpg
SKUAD negara selesai harungi dua aksi persahabatan dengan India. FOTO IHSAN FAM

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Juan Torres Garrido akui masih belum memiliki bayangan kesebelasan utama yang akan memikul cabaran dalam aksi pertama Kumpulan D menentang Uzbekistan di saingan Piala Asia B-23 di Qatar pada 17 April depan.

Katanya, selepas mengharungi dua aksi persahabatan tertutup menentang India di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, beliau masih belum menemui 'barisan idaman' lagi.

Malah menurut jurulatih dari Sepanyol itu, ketiadaan beberapa tonggak utama yang masih belum menyertai kem latihan biarpun sudah seminggu diadakan sedikit memberi kesan kepada perancangan pasukannya.

Begitupun Garrido optimis sebaik beberapa pemain utama menyertai pasukan dalam minggu ini, beliau akan menemui bayangan skuad terbaik yang akan dipertaruhkan di Qatar nanti.


"Masih tiada lagi (bayangan kesebelasan utama), sebab ramai lagi pemain akan sertai pasukan di mana ada pemain yang masih perlukan masa untuk tunjukkan kemampuan.

"Ini umpama latihan pramusim bagi pemain," katanya ditemui selepas aksi persahabatan tertutup kedua menentang India di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam tadi.

Dalam perlawanan pemanas badan kedua itu, India bangkit daripada kekalahan pada pertemuan pertama apabila mengikat skuad Harimau Muda dengan 1-1 hasil jaringan sendiri pemain lawan Abhishek Dhananjay pada babak pertama sebelum disamakan Thoiba Singh di separuh masa kedua.

"Kita masih tak cukup pemain dan hampir seminggu berlatih tanpa skuad penuh dan mereka akan sertai pasukan beberapa hari lagi.

"Kita tempuh dua perlawanan ini (menentang India) dan kita dapat komitmen yang baik daripada barisan pemain, cuma hari ini (malam tadi) pemain dilihat penat.

"Ia kerana kita terpaksa menekan pemain dalam latihan. Menjelang minggu depan kita akan menganalisis dan membetulkan kekurangan yang ada," kata Garrido lagi.

Ketika ini, hampir empat pemain utama B-23 masih bersama skuad senior kendalian Kim Pan-gon iaitu Nooa Laine, Harith Haiqal, Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal manakala penyerang sensasi yang beraksi di Liga Jepun, Luqman Hakim Shamsudin dijadual menyertai pasukan minggu ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1074120/garrido-belum-ada-ilham-barisan-idaman
Pages: [1]
View full version: Garrido belum ada ilham barisan idaman


ADVERTISEMENT