mattzzx Publish time 26-3-2024 03:21 PM

'Saya terkejut, ini rezeki bulan Ramadan' - Ubaidullah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ubai110_1711431990.jpg
UBAIDULLAH akui terkejut selepas diumumkan pemenang kategori Pemain Terbaik Piala MFL musim lalu. FOTO GHAZALI KORI

Kuala Terengganu: Bekas pertahanan Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili akui begitu terkejut selepas diumumkan pemenang kategori Pemain Terbaik Piala MFL dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23), malam tadi.

Pemain yang dinaikkan 'pangkat' menyarung jersi skuad utama, Terengganu FC (TFC) pada musim ini itu menyifatkan anugerah berkenaan sebagai rezeki pada bulan Ramadan.

Ini kerana menurut pemain berusia 21 tahun itu, ramai lagi pemain muda berbakat besar dalam saingan Liga MFL musim lalu terutama yang menyarung jersi skuad senior kebangsaan.

Namun jelas pemain kelahiran kampung Cherang, Kelantan itu, kejayaan itu mampu melonjakkan lagi motivasinya untuk terus bersaing hebat dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula pada 10 Mei ini.

"Sejujurnya saya terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang anugerah Pemain Terbaik Piala MFL dalam ABK23 ini kerana calon-calon lain juga tidak kurang hebatnya.

"Lagipun saya beraksi di posisi pertahanan berbanding ramai lagi calon-calon penyerang yang berbakat dalam kancah Liga MFL, tambahan pula ini kali pertama saya dicalonkan.

"Namun ini rezeki saya pada bulan mulia ini biarpun saya akui saingan sengit dengan calon-calon yang lain, kemenangan ini adalah yang pertama dalam ABK, ianya mampu menyuntik lagi semangat saya untuk terus membantu skuad TFC dan kebangsaan," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu, pemain yang lebih mesra dipanggil 'Ubai' itu berjaya menambat hati ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner sehingga berjaya berada dalam skuad Penyu itu di pentas final Piala Malaysia.

Bekas pertahanan tengah skuad Projek FAM-MSN berketinggian 1.82 meter itu juga turut terpilih dalam senarai pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) pada musim lalu dan tahun ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1074118/saya-terkejut-ini-rezeki-bulan-ramadan-ubaidullah
Pages: [1]
View full version: 'Saya terkejut, ini rezeki bulan Ramadan' - Ubaidullah


ADVERTISEMENT