Vellfire Publish time 26-3-2024 06:15 AM

Tingkatkan tahap keselamatan diri dan rumah

Modus operadi penjenayah lebih menyasarkan rumah tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan: Alexson
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240325/myy-ub250324-rb-nasihat-polis-p1.jpg

Alexson (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Mohd Sabri (kiri) di Miri hari ini.
MIRI: Orang ramai di sini dinasihati agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan diri dan rumah masing-masing untuk mengelak sebarang kejadian jenayah.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, ini penting memandangkan modus operadi penjenayah lebih menyasarkan rumah tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan.
"Justeru, kita minta orang ramai memberi kerjasama kepada polis dengan meningkatkan tahap keselamatan diri dan rumah masing-masing dan memastikan rumah dipasang jeriji besi, kamera litar tertutup (CCTV), alat penggera dan bersihkan kawasan semak-samun di belakang rumah.
"Empat perkara ini harus dititikberatkan memandangkan modus operandi penjenayah sering menyasarkan rumah-rumah tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan," katanya ketika ditemui pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang menjalankan tugas masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam agar tidak risau kerana kes rompak dilaporkan di Miri tidak banyak dan masih terkawal.
"Tiada apa perlu dirisaukan memandangkan kes dilaporkan tidak banyak dan masih terkawal," jelasnya.
Katanya, polis kini menggerakkan semua elemen termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Unit Dron, K9, Jabatan Siasatan Jenayah, Trafik, Bahagian Pencegahan Jenayah serta semua balai untuk mengesan penjenayah.
Menurut Alexson, berdasarkan siasatan awal dilakukan, polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga kes samun dilaporkan di Taman Hilltop, Ocean Park dan Permyjaya minggu lalu dilakukan anggota kumpulan penjenayah yang sama.
"Identiti penjenayah terbabit dipercayai sekurang-kurangnya tiga orang yang masih belum dipastikan sama ada rakyat tempatan atau sebaliknya," kata beliau.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/25/tingkatkan-tahap-keselamatan-diri-dan-rumah
Pages: [1]
View full version: Tingkatkan tahap keselamatan diri dan rumah


ADVERTISEMENT