Vellfire Publish time 26-3-2024 05:36 AM

Suryady tidak akan dicalonkan PRN17 akan datang

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240325/twu-ub25032024-hs-bungp1.jpg

SUMBANGAN: Bung (empat kanan) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa kebakaran.
TAWAU: UMNO Sabah tidak akan mencalonkan Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dengan tegas berkata, pihaknya hanya mahu calon yang mempunyai kesetiaan kepada parti dan menghormati pemimpin.
“UMNO Sabah tidak akan mempertimbang ahli yang telah membelot kepada parti dan mereka yang tidak mempunyai integriti serta suka melompat.
“Keahlian Suryady telah digantung, jadi kalau berhasrat mahu bertanding dengan parti lain bermakna dia perlu kosongkan kerusi Parlimen, dalam UMNO saya mungkin tidak akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan bekas Ketua UMNO Bahagian Kalabakan itu yang kini masih menerajui kerusi Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu, hari ini.
Suryady yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meskipun UMNO telah menarik sokongan pada Januari 2023.
Dalam perkembangan lain, Bung menyatakan pihaknya tidak takut dengan kerajaan negeri seperti kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini.
Menurutnya, UMNO Sabah sedikit pun tidak takut dengan kerajaan negeri, sebaliknya mereka yang selalu nampak gelisa dengan keadaan ekonomi negeri ketika ini.
Katanya, UMNO Sabah bukan mahu burukkan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ), tetapi rakyat yang selalu bertanya apa yang dilakukan oleh kerajaan.
“Apa yang kerajaan negeri sudah buat dengan peruntukan sebanyak 3.5 bilion kerana sudah masuk empat tahun belum nampak pembangunan yang mereka buat.
“Justeru, Ketua Menteri jangan bimbang, kami bekerja seperti biasa menyuarakan masalah isu rakyat dan tugas kerajaan pula menangani masalah itu,” katanya.
Terdahulu, Bung telah menyampaikan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari UMNO dan Felcra kepada 77 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond.
Beliau meminta masyarakat bersikap cakna dan mengadakan konsultansi sesama penduduk kampung setahun sekali bagi berbincang usaha mencegah segala bentuk musibah termasuk kebakaran.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/25/suryady-tidak-akan-dicalonkan-prn17-akan-datang-bung
Pages: [1]
View full version: Suryady tidak akan dicalonkan PRN17 akan datang


ADVERTISEMENT