mattzzx Publish time 25-3-2024 05:23 PM

10,000 bekas bubur lambuk diagih di Parlimen Tambun

https://assets.bharian.com.my/images/articles/DATUK_SERI_ANWAR_IBRAHIM__1711358198.jpg
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengacau bubur lambuk ketika hadir pada Program Gerak Rahmah : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Tahun 2024 dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru hari ini.

IPOH: Kira-kira 10,000 bekas bubur lambuk diedarkan sempena program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Parlimen Tambun yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun meluangkan masa kira-kira 15 minit menghadiri acara itu, seterusnya menyempurnakan gimik perasmian program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu di Dewan KRT Taman Meru, di sini.

Anwar serta beberapa hadirin kenamaan lain turut dilihat 'mengacau' adunan bubur lambuk yang sedang dimasak dalam periuk.

Hadir sama ke program itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.


Dalam program sama, Anwar turut menyempurnakan gimik agihan menerusi Penyampaian Sumbangan Rahmah berupa 150 sumbangan kotak Rahmah, selain lima kerusi roda kepada golongan memerlukan sekitar parlimen Tambun.

Sementara itu Aaron berkata, pelaksanaan program di bawah Kluster Komuniti Rahmah itu selaras dengan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasa Rukun Tetangga sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan, dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.

Katanya, program sebegitu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan KRT sebagai ejen penyatuan masyarakat serta sumbangan kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif; selain dapat mencapai matlamat untuk membangunkan Komuniti Rahmah selaras aspirasi membangun masyarakat MADANI.

"Secara keseluruhan penyertaan pada program ini dianggarkan seramai 450 peserta yang terdiri daripada 20 KRT Parlimen Tambun, 10 agensi dan badan bukan kerajaan (NGO); membabitkan acara memasak sebanyak 30 periuk bubur lambuk.

"Kerajaan sentiasa berusaha memelihara dan mereka yasa perpaduan di peringkat komuniti sebagai suatu pelonjak kepada pembangunan dan pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang dan harmoni.

"Dalam konteks ini, Rukun Tetangga memainkan peranan amat signifikan di peringkat komuniti khususnya di kala negara berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran," katanya menerusi kenyataan sempena program itu.

Kata Aaron lagi, program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan yang dilaksanakan pada 23 Mac lalu secara serentak seluruh negara dengan agihan lebih 600,000 bekas bubur lambuk oleh warga KRT, juga membuktikan nilai kebersamaan di peringkat komuniti.

Katanya, susulan itu kementeriannya akan turut melaksanakan program Jom Ronda SRS serta Jom Bersih dan Indah serentak di seluruh negara pada tahun ini sebagai usaha mengukuhkan nilai kebersamaan di peringkat komuniti.

"Kementerian Perpaduan Negara juga merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN), serta daerah yang bersama-sama menyemarakkan semangat perpaduan melalui program ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1227794/10000-bekas-bubur-lambuk-diagih-di-parlimen-tam
Pages: [1]
View full version: 10,000 bekas bubur lambuk diagih di Parlimen Tambun


ADVERTISEMENT