mattzzx Publish time 25-3-2024 04:47 PM

Maij sasar kutip zakat fitrah RM24 juta

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/BENALAKAN1_1711354715.jpg
NASRI menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak sempena Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Skudai. FOTO Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor (Maij) mencatatkan kutipan zakat fitrah berjumlah kira-kira RM10 juta sehingga RM15 juta sejak awal Ramadan sehingga semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasri Md Ali berkata, pihaknya menyasarkan kutipan RM24 juta pada Ramadan tahun ini berbanding RM23 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai walaupun dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

"Ia terutama apabila sejak awal Ramadan sehingga kini kira-kira RM10 sehingga RM15 juta zakat fitrah sudah dikutip.

"Ramai yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mengikut kadar lebih tinggi iaitu RM20," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf Maij Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Skudai, di sini, semalam.

Maij menetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini, iaitu RM7, RM12 dan RM20.

Penetapan harga fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Sementara itu, bagi mengulas dakwaan segelintir pihak berkaitan wujud birokrasi bagi pengagihan sumbangan, Nasri berkata, Maij menafikan perkara terbabit.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar, sebaliknya pelbagai akses atau platform disediakan Baitulmal dan pusat zakat termasuk dalam talian untuk mereka memohon bantuan.

"Misalnya, seseorang pemohon boleh datang ke pejabat Maij selain menghantar e-mel permohonan, atau secara atas talian atau terkini boleh imbas 'barcode' yang disediakan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1073814/maij-sasar-kutip-zakat-fitrah-rm24-juta
Pages: [1]
View full version: Maij sasar kutip zakat fitrah RM24 juta


ADVERTISEMENT