mattzzx Publish time 25-3-2024 02:04 PM

Ibu sedia derma buah pinggang, tapi kos pembedahan pula tinggi

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm287kos_1711346249.jpg
CHEW Siew Foong, 56 (kanan) akan mendermakan salah satu buah pinggang kepada anaknya Ting (kiri) namun memerlukan bantuan orang ramai dalam usaha mengumpul dana. FOTO ihsan One Hope Charity

Bukit Mertajam: Seorang ibu memerlukan bantuan kewangan untuk melakukan pemindahan buah pinggang kepada anak perempuannya yang menghidap penyakit itu sejak 12 tahun lalu.

Chew Siew Foong, 56 dari Bintulu, Sarawak berkata, dia tidak sanggup melihat penderitaan anaknya, Ting Chai Shi, 25, apabila perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Menurutnya, doktor mendapati buah pinggangnya sesuai buat anaknya, namun dia berdepan kekangan kewangan.

"Kos pembedahan itu amat tinggi dan saya tidak mampu membiayainya kerana hanya suri rumah, manakala suami pula bekerja di gerai mi.


"Saya mempunyai dua lagi anak berusia 21 dan 28 tahun, namun mereka hanya bekerja biasa sahaja.

"Anak saya (Chai Shi) ini masih muda dan saya mahu dia sihat untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan One Hope Charity, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, wanita berkenaan bersama keluarganya tampil bagi memohon bantuan, baru-baru ini.

"Kita dimaklumkan prosedur pemindahan buah pinggang itu akan dibuat di Kuala Lumpur dengan menelan kos RM170,000.

"Mereka tidak mampu menampung kos pemindahan itu dan berharap bantuan dana daripada orang ramai yang budiman," katanya

Katanya, wanita berkenaan dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia 14 tahun apabila fungsi buah pinggangnya hanya tinggal lima peratus selepas sering demam, sukar bernafas dan badan bengkak.

"Pada 2018, dia disahkan mengalami masalah kelenjar paratiroid yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam pengaturan kalsium serta tulang menjadi lemah dan mudah patah.

"Doktor tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh dialisis yang berpanjangan sehingga memaksanya mengambil ubat tulang yang menelan kos RM2,000 sebulan," katanya

Orang ramai yang berhasrat membantu wanita berkenaan boleh menghubungi talian 04-539 9212 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1073742/ibu-sedia-derma-buah-pinggang-tapi-kos-pembedahan-pula-tinggi
Pages: [1]
View full version: Ibu sedia derma buah pinggang, tapi kos pembedahan pula tinggi


ADVERTISEMENT