mattzzx Publish time 25-3-2024 10:55 AM

Gol Pellegrini, Barella bantu Itali benam Ecuador

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/FOI-SOC-SPO-WOM-ECUADOR-V-ITALY-INTERNATIONAL-FRIENDLY_1711327070.jpg
BARELLA (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua Itali ketika menang 2-0 ke atas Ecuador, FOTO AFP

New Jersey: Jaringan awal Lorenzo Pellegrini dan gol saat akhir Nicolo Barella memastikan skuad Itali yang berwajah baharu menang 2-0 ke atas Ecuador pada aksi persahabatan di Red Bull Arena di New Jersey, awal pagi tadi.

Pengendali Itali, Luciano Spalletti membuat 11 perubahan ke atas barisan pemain yang menang 2-1 ke atas Venezuela, Khamis lalu, yang juga dua perlawanan awal di Jelajah Amerika Syarikat (AS) bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain membuktikan kemampuan menjelang Euro 2024 di Jerman.

Tempoh bertafakur seminit diadakan bagi menghormati pengarah Fiorentina, Joe Barone, yang meninggal dunia pada Khamis lalu.

Pellegrini meletakkan Itali di depan selepas tiga minit perlawanan apabila merembat masuk bola lantunan selepas sepakan percuma.



Ecuador lebih mengancam pada babak kedua apabila penjaga gol Itali, Guglielmo Vicario terpaksa melayangkan badan untuk menyelamatkan percubaan Gonzalo Plata.

Bagaimanapun, pada hujung perlawanan Itali menggandakan kedudukan menerusi serangan balas pantas yang disempurnakan Barella.

Spalletti berkata, jelajah AS menampakkan hasil positif dalam usaha mereka mempertahankan trofi Euro pada Jun ini.

"Terdapat banyak acara, temu janji dan perjalanan yang berterusan, jadi apabila mengumpulkan semuanya dengan cara kami dan Persekutuan Bolasepak Itali lakukan sehingga pasukan berada di padang, ia menjadi satu jelajah yang bagus," katanya kepada RAI Sport.

"Kami melihat banyak prestasi bagus, ada perkara yang perlu diselesaikan dan tidak banyak masa untuk bekerja, tetapi perlawanan ini memberi peluang kepada kami membuat analisis dan mencari sesuatu yang positif."

Selepas menjaringkan gol kedua, Barella meraikan perlawanan pertama sebagai kapten Itali dan sangat gembira dengan prestasinya serta pasukan.

Itali akan menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan pada Jun iaitu menentang Turkiye dan Bosnia, sebelum beraksi di Euro 2024 di Jerman.

Mereka diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Sepanyol, Albania dan Croatia dalam kejohanan yang bakal bermula pada 14 Jun.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1073609/gol-pellegrini-barella-bantu-itali-benam-ecuador
Pages: [1]
View full version: Gol Pellegrini, Barella bantu Itali benam Ecuador


ADVERTISEMENT