mattzzx Publish time 23-3-2024 10:32 AM

Belanda belasah Scotland 4-0

https://assets.bharian.com.my/images/articles/wianajsdfnwj4tnwrg_1711152856.jpg
Pemain Belanda, Rijjani Reijnders (tengah) meraikan jaringan ketika aksi persahabatan menentang Scotland di Johan Cruyff Arena, Amsterdam. - Foto AFP



AMSTERDAM: Belanda meledak tiga kali di akhir permainan ketika membelasah Scotland 4-0 dalam aksi persahabatan di Johan Cruyff Arena.

Dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2024 itu, Belanda tampil lebih berkesan dan skuad kendalian Ronald Koeman mendahului menerusi rembatan jarak jauh Tijjani Reijnders di akhir babak pertama.

Scotland berpeluang menyamakan kedudukan selepas rehat tetapi percubaan Lawrence Shankland sekadar terkena palang.

Georginio Wijnaldum menanduk masuk gol kedua Belanda sebelum pemain gantian, Wout Weghorst dan Donyell Malen melengkapkan kemenangan di minit-minit akhir.



Scotland kendalian Steve Clarke kini sudah dibolosi 18 kali dalam enam perlawanan terakhir mereka, gagal merakam sebarang kemenangan dan tewas empat kali.

Mereka juga dibolosi lebih dua gol dalam enam perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak tahun 1961.

Scotland, yang akan berdepan tuan rumah, Jerman pada aksi pembukaan Euro 2024, akan bertemu Ireland Utara dalam satu lagi aksi persahabatan di Hampden Park pada Selasa.

"Ia sesuatu yang ganjil. Tewas 4-0 sangat menyakitkan. Untuk tempoh 70 minit ia sangat bagus tetapi kemudian kami dibolosi gol kedua.

"Perbezaan utama antara kedua-dua pasukan ialah tindakan penyudah. Tidak perlu terlalu emosi, masih banyak perkara positif daripada perlawanan ini," kata Clarke.

Belanda pula memenangi empat perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak tahun 2013.

"Dalam sejam pertama, Scotland beraksi lebih baik. Sukar dipercayai mereka gagal menjaringkan gol kerana terdapat begitu banyak peluang.

"Kami perlu bermain dengan lebih baik. Terlalu banyak kesilapan dan ia perlu diperbaiki di Jerman nanti," kata Koeman.

Koeman menurunkan gandingan Liverpool, Virgil Van Dijk dan Cody Gakpo, serta penyerang Atletico Madrid, Memphis Depay. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/03/1226863/belanda-belasah-scotland-4-0
Pages: [1]
View full version: Belanda belasah Scotland 4-0


ADVERTISEMENT