mattzzx Publish time 23-3-2024 10:24 AM

Voli akrobatik Munoz hukum Sepanyol

Edited by mattzzx at 23-3-2024 10:26 AM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SOCCER-FRIENDLY-ESP-COL_REPORT_1711154204.jpg

London: Daniel Munoz menjaringkan gol dengan sepakan akrobatik pada separuh masa kedua untuk memberikan Colombia kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol, kemenangan pertama mereka menentang juara Piala Dunia 2010 itu.

Selepas separuh masa pertama yang suram di mana kedua-dua pengurus merehatkan beberapa pemain utama, Colombia kembali dengan lebih yakin selepas rehat, dengan bekas pemain Real Madrid, James Rodriguez masuk dari bangku simpanan untuk memimpin pasukannya meraih kemenangan kelima berturut-turut dan melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 18 perlawanan.

Rodriguez dan Luis Diaz sentiasa menjadi ancaman kepada pertahanan Sepanyol, dengan bek tengah Athletic Bilbao, Dani Vivian, yang membuat penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan, bergelut untuk menghalang pemain sayap Liverpool itu.

Diaz sukar dihalang ketika naik dan turun di bahagian sayap kiri serta mencipta beberapa peluang yang disia-siakan rakan sepasukannya.

Dua daripadanya kepada Rodriguez yang gagal melakukan rembatan lencong selepas bola melangkaui palang dan kemudian memaksa penjaga gol, Alex Remiro bertindak cemerlang dengan menafikan gol pembukaan Colombia.

Sehinggalah di minit ke-61 mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol, dengan Rodriguez melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri kepada pertahanan Crystal Palace, Munoz yang melakukan voli akrobatik menuju ke sudut atas gawang Sepanyol.

Ia adalah kekalahan pertama Sepanyol dalam satu tahun, apabila pengurus, Luis de la Fuente merehatkan Rodri, Dani Carvajal, Alvaro Morata dan beberapa pemain penting lain dalam persiapan Euro di Jerman, yang bermula Jun.

Dia menyerahkan penampilan sulung antarabangsa kepada tiga pemain termasuk Vivian dan pemain pertahanan Barcelona berusia 17 tahun, Pau Cubarsi, yang diturunkan sebagai pemain gantian pada lewat separuh masa kedua.

"Kami mahu mereka meraih pengalaman ini. Mereka adalah pemain penting dengan masa depan yang hebat. Mereka masih mempunyai kerjaya yang panjang di hadapan mereka," kata De La Fuente kepada saluran Sepanyol TVE.

"Kami lebih banyak belajar daripada kekalahan berbanding kemenangan. Kami berpuas hati dengan banyak perkara. Kami mahu menguji diri sendiri dan terus memperbaiki diri."



MUNOZ melakukan voli akrobatik untuk gol kemenangan Colombia. FOTO Reuters

https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1072984/voli-akrobatik-munoz-hukum-sepanyol
Pages: [1]
View full version: Voli akrobatik Munoz hukum Sepanyol


ADVERTISEMENT