sfhzuraz Publish time 23-3-2024 08:58 AM

Trak Info Islam IPSI jelajah seluruh negara sampaikan dakwah

Trak Info Islam IPSI jelajah seluruh negara sampaikan dakwah

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

23 Mac 2024 08:45am







https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/03/23/2586225.jpg
ZPP menyerahkan Trak Info Islam kepada IPSI pada Jun tahun lalu bertujuan untuk menjalankan dakwah di seluruh negara.



GEORGE TOWN - Pemberian sebuah trak dakwah oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) telah digunakan sepenuhnya dengan penganjuran pelbagai program dakwah.
Presiden IPS, Datuk Kamarudin Abdullah berkata, trak dakwah yang dinamakan Trak Info Islam IPSI bernilai RM295,000 itu telah menjelajah di seluruh negara antaranya di Kuala Lumpur, Perlis dan Ipoh.


"Sejak trak ini diserahkan kepada kita pada Jun tahun lalu, IPSI telah membawa jelajah Trak Info Islam IPSI ini ke pelbagai lokasi dan program.
"Antaranya di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 2023, di Masjid Alwi, Perlis pada 3 Januari lalu dan Universiti Kebangsaan Malaysia di Fakulti Pengajian Islam pada 9 Januari.


"Pelbagai jelajah dan program telah dirancang pada tahun ini menerusi Trak Info Islam IPSI untuk membolehkan aktiviti dakwah terus dijalankan di seluruh negara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelas beliau, di dalam trak berkenaan disediakan bahan-bahan bacaan seperti buku dan risalah-risalah tentang Islam serta al-Quran terjemahan untuk para pengunjung.
"Di dalam trak ini, para pengunjung boleh duduk berehat secara santai kerana kita juga sediakan sofa dan juga penyaman udara untuk keselesaan pengunjung.
"Apa yang menarik, pengunjung bukan sahaja terdiri daripada orang Islam malah ia turut menarik perhatian orang bukan Islam," katanya lagi.



Kamarudin berkata, trak tersebut merupakan pertama kali diwujudkan di Malaysia dan ZPP telah merealisasikan hasrat IPSI itu demi untuk penyebaran dakwah dan al-Quran.
"Trak dakwah telah diubahsuai mengikut kesesuaian sebagai ‘lori pentas’ bagi membolehkan aktiviti dakwah dan dialog antara agama dijalankan oleh IPSI.



"Kita berhadapan dengan masyarakat celik IT, zaman warga media sosial lebih-lebih lagi dalam kewujudan masyarakat pluralistik dalam aspek agama, bangsa dan budaya di Malaysia.
"Masyarakat semakin bijak menilai dan membuat pilihan menyebabkan kandungan dakwah yang disampaikan perlu lebih berkualiti dan sesuai dengan peredaran masa," ujarnya lagi.
Menurut beliau, persiapan kompetensi dan kandungan dakwah yang disampaikan perlu lebih berkualiti dan sesuai dengan peredaran masa.
"Dulu mungkin masyarakat boleh terima bulat-bulat apa yang kita lontarkan. Tetapi sekarang masyarakat bijak menilai dan membuat pilihan.
"Ada yang menerima ikut selera, kerana dunia semakin terbuka. Ada yang sedia menerima dengan hujah dan dalil.
"Selaras dengan suasana masyarakat beragama di Malaysia, dialog antara agama dilihat sebagai wadah yang efektif untuk dibudayakan dalam segenap lapisan masyarakat," katanya.
Trak Info Islam IPSI jelajah seluruh negara sampaikan dakwah - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Trak Info Islam IPSI jelajah seluruh negara sampaikan dakwah


ADVERTISEMENT