Vellfire Publish time 22-3-2024 08:18 PM

Jawatankuasa pengurusan bencana peringkat bahagian dan daerah diingat waspada cuaca panas dan kering

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240321/uggah.jpg

Gambar fail
KUCHING: Semua jawatankuasa pengurusan bencana peringkat bahagian dan daerah diingat untuk berwaspada sepenuhnya memandangkan keadaan cuaca semasa yang panas dan kering.
Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini terutamanya di bahagian utara negeri ini yang mengalami cuaca sedemikian.
“Ini mengakibatkan beberapa kawasan iaitu penempatan sudah mengalami masalah bekalan air.
“Sehubungan itu, semua jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dikehendaki mengambil perhatian sepenuhnya dan mengambil tindakan serius terhadap situasi tersebut.
“Mereka diarahkan untuk menilai tahap keseriusan masalah di bahagian masing-masing dan menghulurkan segera bantuan yang diperlukan, seperti menyediakan bekalan air kepada penempatan yang terjejas," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Uggah berkata, semua agensi bahagian yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu bekerjasama rapat dengan jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dalam menangani masalah yang berlaku.
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
“Jangan teragak-agak untuk mengunjungi klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan sekiranya anda menghadapi sebarang masalah kesihatan akibat keadaan tersebut,” tegas Uggah.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi kenyataan hari ini berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, MET Malaysia menjangkakan cuaca panas dan kering dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.
Menurut MET Malaysia, bagaimanapun ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku terutamanya di barat Semenanjung dan Sarawak pada lewat petang dan awal malam.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/21/jawatankuasa-pengurusan-bencana-peringkat-bahagian-dan-daerah-diingat-waspada-cuaca-panas
Pages: [1]
View full version: Jawatankuasa pengurusan bencana peringkat bahagian dan daerah diingat waspada cuaca panas dan kering


ADVERTISEMENT