sfhzuraz Publish time 22-3-2024 12:54 AM

Deruman pesawat misteri mengejutkan penduduk Perlis

Deruman pesawat misteri mengejutkan penduduk Perlis





Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/apamanab1_1711025598.jpg
PESAWAT pengangkut TUDM A400M dikatakan terbang rendah di ruang udara Perlis kerana menjalankan operasi pembenihan awan. FOTO Arkib NSTP



Kangar: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis menyangkal dakwaan operasi pembenihan awan dilaksanakan di negeri itu susulan deruman misteri enjin pesawat terbang rendah yang kuat menggegar ruang udara negeri itu dan kawasan utara Kedah, malam tadi.
Pesawat yang tidak diketahui jenisnya itu didapati berlegar di sekitar Changlun, Arau, Tambun Tulang dan Kangar Jaya sebelum dikatakan berlalu menuju ke Langkawi dengan deruman enjinnya yang dikatakan terbang rendah sehingga menggegarkan ruang udara kawasan berkenaan sekitar jam 1.30 pagi.
Deruman enjin pesawat itu juga mengejutkan penduduk sedang tidur.
Exco Alam Sekitar Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, pemeriksaan pihaknya dengan JAS Perlis mendapati tiada sebarang maklumat berhubung sebarang operasi pembenihan awan sedang dijalankan di Perlis meskipun negeri itu kini sedang dilanda cuaca panas.
"JAS Perlis serta Agensi Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis tidak dimaklumkan atau mempunyai maklumat berhubung sebarang operasi pembenihan awan dijalankan di negeri ini.
"Walaupun kita ada mendengar bunyi deruman pesawat terbang rendah sekitar 1.30 pagi semalam namun identiti pesawat itu tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan juga ruang udara Perlis bukanlah tempat yang selalu digunakan pesawat pejuang untuk melakukan latihan apatah lagi terbang rendah pada awal pagi itu.
Tular di media sosial hari ini yang mendakwa bunyi deruman enjin pesawat terbang rendah di ruang udara Perlis sekitar jam 1. 30 pagi datangnya dari pesawat pengangkut Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) jenis A400M yang terbabit dengan operasi pembenihan awan.
Namun sehingga kini, tiada sebarang kenyataan daripada pihak TUDM mahupun Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berhubung sebarang operasi berkenaan.
Perlis dan Kedah menjadi antara negeri yang terkesan dengan cuaca panas susulan Fenomena El Nino yang melanda pada waktu ini dimana bekalan air Empangan Timah Tasoh di Beseri, Padang Besar juga dianggarkan mampu bertahan selama 90 hari.
Situasi yang berlaku juga menyebabkan aktiviti luar kelas di sekolah di negeri berkenaan turut dihadkan bagi mengelakkan berlakunya serangan strok haba.


Disiarkan pada: Mac 21, 2024 @ 8:53pm
Deruman pesawat misteri mengejutkan penduduk Perlis (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Deruman pesawat misteri mengejutkan penduduk Perlis


ADVERTISEMENT