mattzzx Publish time 21-3-2024 04:58 PM

Badi 'Pak Arab' hantui Harimau Malaya

https://assets.bharian.com.my/images/articles/omunbh21_1710996676.jpg
Pemain Harimau Malaya menjalani sesi latihan terakhir menjelang aksi menentang Oman pagi esok. - Foto FB FAM

KUALA LUMPUR: Selepas mengungguli Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2026/ Piala Asia 2027 menerusi dua kemenangan bersih, ujian sebenar menanti skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, awal pagi esok (2 pagi Jumaat).

'Takhta' skuad kebangsaan bakal dicabar oleh pasukan di ranking ke-80 dunia, Oman yang kini tampil penuh 'misteri' selepas dikendalikan jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy yang pasti mahukan kemenangan pada debutnya bersama Oman.

Malaysia pula tidak mahu mensia-siakan peluang menempah 'tiket' lebih awal selepas ketika ini sudahpun berada 'separuh jalan' dalam misi mencipta sejarah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga slot automatik ke Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, skuad negara perlu berhati-hati dengan 'igauan' dari kelompok negara Asia Barat memandangkan kita seakan memiliki 'badi' yang sukar untuk dipadam apabila berdepan dengan negara yang mudah disapa sebagai 'geng Pak Arab' ini.


Ini kerana skuad kebangsaan memiliki rekod yang 'menggerunkan' setiap kali menentang negara dari Asia Barat namun sayangnya, rekod itu tidak memihak kepada kita - sesuatu yang mungkin menjadi antara 'highlight' untuk aksi ini.

Berdasarkan semakan, skuad negara sudah berentap sebanyak 98 kali dengan 13 negara dari Asia Barat iaitu Lubnan, Bahrain, Jordan, Kuwait, Iraq, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Syria, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman, Iran dan juga Palestin.

Daripada 98 pertembungan diharungi, skuad negara hanya merekod 17 kemenangan membabitkan 17.34 peratus kemenangan sahaja menentang pasukan dari Asia Barat - ini satu rekod yang mungkin memberikan sedikit tekanan kepada psikologi pemain menjelang aksi menentang Oman.

Mereka juga tidak pernah menang ke atas Lubnan, Jordan, Iraq, Qatar dan Iran sekali gus menunjukkan betapa 'berhantunya' negara dari Asia Barat ini buat skuad negara.

Daripada 13 negara itu, hanya Yaman yang boleh dianggap menjadi 'makanan' buat skuad negara apabila berjaya meraih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan ke atas pasukan itu.

Malah, kali terakhir skuad kebangsaan merakam kemenangan ke atas pasukan Asia Barat adalah pada 2014 menerusi aksi Kelayakan Piala Asia dan ya, kemenangan itu dilakar ke atas Yaman.

Melihat kepada rekod untuk lawan yang bakal ditentang skuad negara iaitu Oman, Malaysia melakar 33.3 peratus kemenangan daripada enam pertemuan sebelum ini namun kali terakhir menewaskan lawan itu adalah pada tahun 2000.

Jadi, mungkinkah awal pagi esok bakal menjadi detik di mana skuad Harimau Malaya dapat meningkatkan lagi peratus kemenangan mereka ke atas negara dari Asia Barat ataupun sekali lagi 'layu' seperti yang pernah terjadi sebelum ini?
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/03/1226217/badi-pak-arab-hantui-harimau-malaya
Pages: [1]
View full version: Badi 'Pak Arab' hantui Harimau Malaya


ADVERTISEMENT