mattzzx Publish time 21-3-2024 03:59 PM

Duka berulang pesawah Bachok

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0321rssawah_1711001176.jpg
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husin (dua dari kanan) ketika meninjau sawah padi di Bendang Kayu Hidup, Kampung Alor Bakat, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Bachok: Seramai 40 pesawah yang mengusahakan bendang di Kampung Alor Bakat di sini, bimbang kemarau berterusan akan menyebabkan pokok padi ditanam rosak.

Lebih menyedihkan apabila keadaan sama dilalui ketika tiga musim penanaman padi dilakukan di kawasan sawah seluas 54 hektar sebelum ini.

"Sebelum ini kami diduga dengan bencana banjir, namun kali ini sawah kekeringan akibat kemarau panjang," ujar pesawah, Tuan Ahmad Faizal Abu Seman, 36.

Dia berkata, sawahnya kekurangan air sejak bulan lalu dan padi ditanam sepatutnya dituai Mei hadapan.



Katanya, ketika ini fasa padi sudah memasuki tahap 'bunting anak' dan memerlukan air yang banyak.

"Kadar air di sawah tidak mencapai 70 peratus, itupun kami berjaya menyelamatkan pokok padi selepas pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memasang pam air minggu lalu.

"Kami bimbang jika air tidak mencukupi, kami akan kerugian buat kali keempat berikutan sudah tiga musim kami mengalami kerugian," katanya ketika ditemui di bendang Kayu Hidup, Kampung Alor Bakat, di sini, semalam.

Rakannya, Ruzman Hashim, 62 berkata, masalah kemarau menyebabkan pokok padi ditanam terbantut dan mengurangkan kualiti hasil padi.

Kebiasaan katanya, untuk 0.4 hektar padi, petani mengeluarkan modal penanaman kira-kira RM1,000 dan mampu mencapai hasil jualan RM3,000.

"Namun bila padi terjejas, kami dapat sedikit hasil sahaja ,malah kemungkinan 'tak balik modal' (rugi)," katanya.

Sebagai alternatif, satu pam air sepanjang 50 meter dipasang bagi mengairi sawah berkenaan melalui punca air sungai di Sungai Binjai berdekatan bendang berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi KADA, Muhammad Husin berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif menyediakan pam mudah alih dan membina tiub telaga bagi mengatasi kawasan sawah yang ketiadaan air di musim kemarau.

Katanya, sebahagian kawasan tanaman padi boleh mengairi sawah kerana mempunyai sumber air semula jadi berdekatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1072420/duka-berulang-pesawah-bachok
Pages: [1]
View full version: Duka berulang pesawah Bachok


ADVERTISEMENT