Vellfire Publish time 20-3-2024 09:35 PM

Kerajaan disaran laksana persempadanan semula kawasan Parlimen Sabah, Sarawak

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240320/fw1346750kl3713122023parlimen-scr.jpg

KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan agenda pembangunan di kedua-dua negeri itu dapat dipertingkatkan.
Senator Pele Peter Tinggom berkata perkara itu penting kerana ia mampu menggalakkan pembangunan infrastruktur di lokaliti berkenaan melalui peruntukan yang diberikan kepada kawasan Parlimen, sekali gus melancarkan proses pentadbiran.
“Bayangkan kawasan Parlimen di bawah Ahli Parlimen Datuk Anyi Ngau iaitu P220 Baram, ia seluas negeri Pahang. Begitu juga bagi kawasan Parlimen di bawah Ahli Parlimen Datuk Wilson Ugak Kumbong iaitu P216 Hulu Rajang yang seakan-akan sama besar negeri Pahang.
“Sekiranya kawasan Parlimen seperti ini termasuk kawasan-kawasan lain dipecah (kawasan) dan ditambah (kerusi Parlimen), pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang dirancang akan sampai ke pintu rakyat secara terus malah lebih cepat berbanding kedudukan pada masa kini,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara semalam.
Menurut Pele, persempadanan itu perlu dilaksanakan segera khususnya apabila Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini disokong oleh Sabah dan Sarawak dengan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
“Ini adalah bagi memperbetulkan apa yang patut bagi kemakmuran seimbang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Sementara itu, Senator Tan Sri Anifah Aman memohon Kerajaan Pusat untuk meneliti semula lesen ‘Federal Manufacturing License’ kepada Sabah bagi meningkatkan potensi kemasukan pelaburan ke negeri itu.
"Sekarang ini, mana-mana pelabur dalam bidang pembuatan ingin (melabur) ke Sabah, sekiranya kos pelaburan mereka itu melebihi RM2.5 juta, mereka memerlukan Federal Manufacturing License (FML) daripada Kerajaan Persekutuan.
"Ini kerana Kerajaan Sabah hanya boleh mengeluarkan ‘State Government Approval’ kepada pelabur bernilai bawah RM2.5 juta dan tahukah Ahli-ahli Berhormat, untuk mendirikan McDonald’s sahaja pun sudah mencecah kos RM2.8 juta," katanya.
Justeru, bekas Menteri Luar Negeri itu memohon menaikkan had pelaburan RM2.5 juta kepada RM100 juta agar lebih banyak pelabur berskala sederhana masuk ke Sabah tanpa perlu melalui proses birokrasi yang panjang di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata ini secara tidak langsung akan membantu merancakkan semula ekonomi di negeri itu menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan hasil kutipan cukai.
Dalam pada itu, turut menjadi tumpuan dalam sesi perbahasan itu adalah Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mencadangkan agar kerajaan menekankan penguasaan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa ketiga di sekolah kebangsaan.
“Kita perlu beralih daripada kebolehan dua bahasa kepada tiga bahasa kerana ini membolehkan pelajar mahir beberapa bahasa di satu sekolah,” kata Presiden Gerakan itu.
Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini. - BERNAMA

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/20/kerajaan-disaran-laksana-persempadanan-semula-kawasan-parlimen-sabah-sarawak
Pages: [1]
View full version: Kerajaan disaran laksana persempadanan semula kawasan Parlimen Sabah, Sarawak


ADVERTISEMENT