Vellfire Publish time 20-3-2024 09:31 PM

Majlis Bandaraya Miri sokong Earth Hour 2024

Akan menyertainya Sabtu ini dengan memadam lampu di pejabat, kemudahannya untuk satu jam
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240320/myy-ub200324-cc-earthhour-p1.jpg

Poster Kempen Earth Hour yang dilancar selama sejam di seluruh dunia.
“Sehubungan itu, kami dengan hormatnya menasihati orang ramai bahawa beberapa kemudahan dan kawasan di bawah bidang kuasa Majlis akan mengalami kegelapan selama satu jam.”
Adam Yii
Datuk Bandar Miri
Oleh Clare Cinderella
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan mengambil bahagian dalam menganjurkan Earth Hour 2024 pada Sabtu ini, 23 Mac 2024, bermula dari jam dari 8.30 hingga 9.30 malam.
Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, MBM akan bergabung tenaga dengan pertubuhan belia, JCI Lutong dan rakan kongsi pendidikannya, Sekolah Antarabangsa Riam, Institut Teknologi Riam dan Sekolah Menengah Riam Road bagi memastikan acara tersebut lebih berjaya.
Pihak MBM akan memadamkan lampu di pejabat dan kemudahannya untuk satu jam bagi menunjukkan sokongannya terhadap gerakan alam sekitar itu.
MBM merupakan salah satu daripada sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak di samping sektor swasta, mengambil bahagian dalam Earth Hour itu kelak.
Sementara di Miri, beberapa kawasan atau pusat komersil dan sekolah-sekolah di bawah bidang kuasa MBM, juga akan menyertai mereka dalam gerakan tersebut.
“Sehubungan itu, kami dengan hormatnya menasihati orang ramai bahawa beberapa kemudahan dan kawasan di bawah bidang kuasa Majlis akan mengalami kegelapan selama satu jam.
“Kami turut menjemput orang ramai untuk menyertai kami dalam inisiatif ini, menguatkan misi dan impaknya,” ujar Yii.
Earth Hour bertujuan meningkatkan kesedaran dan mencetuskan perbincangan global tentang memelihara alam semula jadi, menangani krisis iklim dan bekerjasama untuk membentuk masa depan yang lebih cerah untuk kita semua.
“Setiap satu langkah kecil yang diambil oleh setiap individu turut menyumbang dengan ketara kepada kesan kolektif terhadap dunia.
“Marilah kita semua berkumpul dan menunjukkan sokongan kita untuk tujuan yang patut ini,” ujarnya.
Earth Hour adalah acara global tahunan yang dianjurkan oleh World Wide Fund for Nature (WWF) yang menggalakkan individu, komuniti dan perniagaan untuk mematikan lampu yang tidak penting dan peralatan elektrik selama satu jam.
Tindakan simbolik ini, yang berlaku pada Sabtu terakhir bulan Mac setiap tahun, bertujuanmeningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan menggalakkan kelestarian.
Acara ini melambangkan komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pemuliharaan tenaga, sambil menekankan keperluan untuk tindakan global untuk menangani perubahan iklim.
Di sebalik masa kegelapan, Earth Hour menggalakkan individu dan komuniti untuk mengamalkan amalan mampan dalam kehidupan seharian mereka dan menyokong dasar yang menggalakkan perlindungan alam sekitar.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/20/majlis-bandaraya-miri-sokong-earth-hour-2024
Pages: [1]
View full version: Majlis Bandaraya Miri sokong Earth Hour 2024


ADVERTISEMENT