sfhzuraz Publish time 20-3-2024 08:56 PM

Jangan berlebihan ulas isu kalimah ALLAH - Ahmad Zahid

Jangan berlebihan ulas isu kalimah ALLAH - Ahmad Zahid

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

20 Mac 2024 08:31pm







https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/03/20/2583676.jpg
Ahmad Zahid berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di sini pada Rabu.



NIBONG TEBAL - Semua pihak diminta supaya tidak berlebihan dalam mengulas atau memberi kenyataan berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak juga diminta agar tidak lagi membangkitkan perkara-perkara sensitif yang ada hubung kait dengan isu berkenaan.


Tambahan pula katanya, pihak pengurusan pasar raya berkenaan telah meminta maaf berhubung isu berkenaan.
"Dalam keadaan ini, saya fikir jangan lagi bangkitkan perkara-perkara yang sensitif begini. Jangan, jangan berlebihan dalam perkara ini. Tambahan pula mereka telah membuat permohonan maaf.


"Kita menganggap mereka tidak mengetahui dan mereka tiada tujuan pun. Malah siasatan ketika lawatan dijalankan mendapati, bukan kilang itu yang melakukan, ia bahan import dari China," katanya ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di sini pada Rabu.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Susulan itu, Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'ALLAH', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.



Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.
Media pada Ahad melaporkan Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah 'ALLAH'.



Dr Muhamad Akmal dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, beliau yakin semua pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan akan menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaik-baiknya.
"Ini satu pengajaran yang agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Tuanku.
"Kita selesai masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan apatah lagi ia mungkin bertujuan oleh sesetengah pihak untuk mengaitkannya dengan 3R (agama, kaum dan Raja-Raja Melayu)," katanya.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Seri Paduka Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
Jangan berlebihan ulas isu kalimah ALLAH - Ahmad Zahid - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Jangan berlebihan ulas isu kalimah ALLAH - Ahmad Zahid


ADVERTISEMENT