Vellfire Publish time 20-3-2024 08:53 PM

Kaedah tangani kesesakan ICQS Sungai Tujuh akan diaplikasi di ICQS Mengkalap

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240320/lbg-ub200324-dm-icqsmengkalaptengah1.jpg

Awang Tengah (dua kiri) ketika melawat ICQS Mengkalap di Trusan, Lawas semalam.
LAWAS: Sarawak akan memperluas kaedah yang digunakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri untuk dilaksanakan di ICQS Mengkalap di sini sebagai salah satu usaha mengatasi kesesakan di pintu utama sempadan itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju agar ICQS Mengkalap dan ICQS Merapok/Sindumin menggunakan kaedah sama dengan ICQS Sungai Tujuh sekiranya sistem yang digunakan itu berkesan kelak.
Jelasnya, penambahbaikan dan perubahan mungkin dilakukan di ICQS Mengkalap dan ICQS Merapok /Sindumin berdasarkan keadaan setempat dalam mengatasi masalah kesesakan.
“Apa jua yang akan dibuat di ICQS Sungai Tujuh Miri kalau ia berkesan dan boleh diterima pakai untuk kita gunakan di ICQS Mengkalap dan ICQS Merapok.
“Premier Sarawak bersetuju untuk kita mengadaptasikan cara dan kaedah tersebut walaupun tempat berlainan keadaan mungkin berbeza, di mana yang perlu kita ubah, kita akan ubah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke ICQS Mengkalap di Trusan, di sini tadi.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan lawatan kerja yang dilakukanPremier Sarawak ke ICQS Sungai Tujuh awal Mac lepas adalah untuk mencari kaedah terbaik mengatasi kesesakan termasuk menaik taraf ICQS tersebut dengan peruntukan RM4 juta.
Sarawak juga katanya, melaksanakan beberapa cara serta kaedah bersesuaian bagi mengelakkan berlakunya kesesakan sekali gus melancarkan aliran trafik termasuk di ICQS Mengkalap dan ICQS Merapok/Sindumin termasuk mewujudkan kerjasama antara agensi dengan menyediakan kaunter khas berbeza untuk pengunjung tempatan dan warga asing.
Katanya, ICQS Mengkalap Trusan merupakan ICQS yang sibuk dan merekodkan kemasukan kira-kira 1.3 juta orang sepanjang tahun lepas dengan purata ketibaan harian di ICQS berkenaan kira-kira 3,600 orang pada hari biasa dan lebih 6,000 orang pada waktu puncak.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/20/kaedah-tangani-kesesakan-icqs-sungai-tujuh-akan-diaplikasi-di-icqs-mengkalap
Pages: [1]
View full version: Kaedah tangani kesesakan ICQS Sungai Tujuh akan diaplikasi di ICQS Mengkalap


ADVERTISEMENT