mattzzx Publish time 20-3-2024 12:53 PM

Jambatan Gantung Sultan Ismail 'nazak'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0320rsbrij_1710909374.jpg
Jambatan Gantung Sultan Ismail

Kuala Krai: Jabatan Warisan Negara (JWN) mendapati keadaan struktur Jambatan Gantung Sultan Ismail di sini, yang berusia lebih 100 tahun, mulai condong dan boleh roboh jika tidak dibaik pulih segera.

Pengarah JWN Zon Timur Mohd Shukri Mohd Isa berkata, pihaknya bersama beberapa agensi pelaksana seperti Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengenal pasti punca untuk mengatasi masalah dihadapi jambatan yang dibina sejak zaman British itu.

Beliau berkata, kesemua agensi itu akan membuat kertas kerja terlebih dahulu mengenai laporan cadangan untuk memulihara jambatan berkenaan disamping anggaran kos diperlukan mengikut kepakaran masing-masing sebelum dibentangkan kepada pihak kerajaan.

"Bagaimanapun bagi langkah keselamatan awal, pihak berwajib bercadang membuat kerja-kerja peneguhan tebing sementara dan pembaikan alur sungai bagi mengelak kerosakan yang lebih serius berlaku.


"Selain itu pemantauan dari semasa ke semasa akan dijalankan bagi memastikan kondisi jambatan tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat," katanya ketika mengadakan lawatan pemeriksaan struktur dan menilai keadaan semasa jambatan itu bersama MDKK, JKR dan JPS, di sini, baru-baru ini.

Jambatan Gantung Sultan Ismail dengan seni bina Eropah sepanjang 21 meter dan lebar sembilan meter itu pernah menjadi nadi pengangkutan darat dari Kuala Krai ke Kota Bharu, namun lagi tidak digunakan sejak 1986 setelah jambatan baharu dibina bersebelahannya.

Mohd Shukri berkata, JWN di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan melihat dari segi konservasi jambatan warisan itu untuk dipulihara dan diselamatkan daripada roboh, manakala JPS pula pelaporannya mengenai struktur tanah, perancangan aliran sungai dan sebagainya.

"Bagi MDKK pula ia melibatkan perancangan urus tadbir jambatan dan JKR menjurus kepada struktur tanah dan jambatan ini untuk dibaik pulih," katanya.

Beliau berkata Jambatan Gantung Sultan Ismail ini diwartakan pada tahun 2003 dan pemilikan urus tadbir terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Apabila sudah digazetkan, pemilikan, urus tadbir, penjagaan, penyelenggaraan dan sebagainya terletak di bawah pemilik tapak, bangunan atau monumen itu sendiri bukannya menjadi hak milik JWN.

Sebelum ini media melaporkan kebimbangan penduduk terhadap jambatan yang dibina sekitar 1920-an itu apabila kesan retakan dikesan pada struktur binaannya, serta berlaku hakisan tanah di sekitar kawasan berhampiran, malah ia juga dikhuatiri akan runtuh bila-bila masa.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1072003/jambatan-gantung-sultan-ismail-nazak
Pages: [1]
View full version: Jambatan Gantung Sultan Ismail 'nazak'


ADVERTISEMENT