mattzzx Publish time 20-3-2024 12:35 PM

Warga emas dakwa suara bilal ganggu kejiranan diarah jalani pemerhatian mental sebulan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sofiah_1710907979.jpg
SOFIAH diarah menjalani pemantauan psikiatri di Hospital Bahagia selama sebulan. FOTO Mikail Ong

Georgetown: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan wanita yang didakwa masuk ke ruang solat lelaki dan bertanyakan soalan kurang sopan di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Ferringhi di sini menjalani pemerhatian psikiatrik selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap Sofiah Abdul Majid, 65, selepas tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

"Berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh adalah kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

"Tertuduh diminta datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April 2024 , jam 9 pagi," katanya.



Terdahulu, Sofiah dalam keadaan tangan bergari turut mencetuskan suasana kecoh apabila cuba menendang kamera Jurugambar NSTP, Mikail Ong sebanyak dua kali ketika dalam perjalanan menuju ke kamar mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa membuat pernyataan zahir di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Ferringhi dengan menyatakan imam dan bilal di masjid membaca al-Quran seperti anjing menyalak dan dirasuk hantu Cina atau Hindu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 Mac lalu kira-kira jam 10 malam dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan individu itu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Namun, Sofiah tidak menjawab sama ada dia memahami atau tidak pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya sebaliknya menyifatkan semua kandungan pertuduhan itu sebagai tidak benar.

"Itu perkataan seseorang terhadap saya. Sebab itu semua bohong bagaimana saya faham? Saya tidak faham kerana ia pembohongan. Itu 'common sense'," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditangguh sehingga 19 April ini untuk menunggu laporan psikiatri.

Media pada Ahad lalu melaporkan mengenai kejadian tular mengenai wanita berkenaan yang bertanya kepada seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal dan imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Berikutan kejadian itu tular, laporan polis dibuat 15 Mac lalu di Balai Polis Batu Ferringhi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071993/warga-emas-dakwa-suara-bilal-ganggu-kejiranan-diarah-jalani-pemerhatian
Pages: [1]
View full version: Warga emas dakwa suara bilal ganggu kejiranan diarah jalani pemerhatian mental sebulan


ADVERTISEMENT