mattzzx Publish time 20-3-2024 10:54 AM

Kerani cekal jaga suami, anak hidap barah limfoma

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0320rsnaemah_1710903015.jpg
Noor Naemmah Abd Hamid (kanan), 43, ketika ditemui di Tanjong Tokong di sini, bersama anaknya, Muhamad Anas Ikmal (kiri), 11, mengidap kanser limfoma. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Georgetown: "Saya kehilangan kata-kata sebaik diberitahu bahawa anak ketiga turut menghidap barah limfoma, sama seperti bapanya," kata Noor Naemmah Abd Hamid, 43.

"Tiada guna menyesali takdir, sebaiknya saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan suami dan anak pulih," katanya lagi.

Begitu azam Noor Naemmah, dari Permatang Pauh di sini, selepas doktor mengesahkan bahawa anaknya, Muhamad Anas Ikmal, 11, menghidap barah itu, Oktober tahun lalu.

Noor Naemmah berkata, terdahulu, suaminya, Mohd Khairi Abas, 43, disahkan menghidap barah terbabit pada 2021 selepas lehernya bengkak.


"Sejak itu, saya mengambil alih tugas menyara keluarga dengan bekerja sebagai kerani di pejabat peguam berikutan suami sudah tidak mampu bekerja.

"Selepas enam kali suami jalani kemoterapi, Muhammad Anas pula menunjukkan gejala kerap demam dan sukar bernafas sebelum saya bawa untuk pemeriksaan.

"Ketika menerima rawatan 'nebulizer', doktor mendapati tiada udara yang memasuki paru-paru malah terdapat sesuatu di paru-paru kanannya. Pemeriksaan susulan mengesahkan dia menghidap barah limfoma," katanya ditemui di Tanjong Tokong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Noor Naemmah berkata, Muhammad Anas sudah lapan kali jalani rawatan kemoterapi dan ada kalanya, kedua-duanya menjalani pemeriksaan kesihatan pada hari sama tetapi di lokasi berlainan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, Muhammad Anas sebelum ini adalah anak yang periang, gemar berbasikal, bermain bola sepak dan ada kalanya turun ke sawah bendang menangkap ikan bersama rakan.

"Selepas disahkan menghidap barah limfoma, Muhammad Anas tidak dapat beriadah seperti dulu kerana cepat letih dan gemar bersendirian, namun keadaannya semakin positif.

"Demi kesihatan kedua-dua insan tersayang, saya kerap mengambil cuti bagi membawa mereka ke hospital dan mujurlah majikan amat memahami serta prihatin dengan kejadian yang menimpa," katanya lagi.

Jauh di sudut hati, Noor Naemmah berkata, dia berharap semua yang dilalui itu cepat berakhir kerana tiga lagi anaknya juga perlukan perhatian.

"Muhammad Anas sering mengatakan yang dia teringin hendak bermain bola sepak semula bersama rakannya, namun saya tidak mengizinkan dan biarlah dia benar-benar pulih," katanya.

Terdahulu, Noor Naemmah ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dan hufaz Ma'had Tahfiz Al-Quran Kasyful Al-Ulum di Hotel Hompton by The Beach Penang dan hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071956/kerani-cekal-jaga-suami-anak-hidap-barah-limfoma
Pages: [1]
View full version: Kerani cekal jaga suami, anak hidap barah limfoma


ADVERTISEMENT