Vellfire Publish time 19-3-2024 08:49 PM

Kementerian sokong pembangunan bakat anak Sarawak

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240319/kch-ub190324-jw-dion-p1a.jpg

(Dari kiri) Snowdan, Dion, Louis dan Edina merakamkan kenangan selepas sidang media, hari ini.
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akan sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan bakat baharu termasuk dalam bidang seni dan budaya.
Timbalan Menterinya Datuk Snowdan Lawan berkata, antara sokongan yang diberikan ialah melalui bantuan kewangan seperti Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Menurutnya, contoh sokongan menerusi dana tersebut ialah kepada anak Sarawak, Dion Das Louis yang akan mewakili Malaysia pada pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2024 di Amerika Syarikat (AS).
Dion, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road, akan ditemani ibu bapanya, Louis Lansam dan Edina Lanying untuk mengambil bahagian dalam kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 6 Julai di Long Beach, California.
"Kementerian kita menyediakan dana mudahcara kira-kira RM58,000 yang akan menampung perbelanjaan perjalanan keluarga (Dion) ke AS untuk kejohanan itu.
"Kami amat berbesar hati menghantar Dion dan ibu bapanya ke AS untuk mempamerkan budaya kita dan berharap dia boleh menang.
"Ini adalah salah satu acara di mana kementerian sangat menyokong mempromosikan budaya kita," ujar Snowdan pada sidang media di pejabatnya yang turut dihadiri Dion dan ibu bapanya, hari ini.
Dion terpilih ke WCOPA 2024 setelah memenangi pertandingan peringkat akhir bagi Kejohanan Seni Persembahan Malaysia 2024 di Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu.
Sementara itu, Louis menzahirkan rasa terima kasih kepada kementerian kerana membiayai perjalanan Dion ke AS dan beliau berharap penyertaan anaknya dalam kejohanan itu akan dapat mempromosikan budaya Sarawak di persada dunia.
Beliau menjelaskan, persembahan ngajat Iban anaknya dipengaruhi oleh unsur-unsur burung 'ruai' atau burung Great Malayan Argus dan burung kenyalang.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Senian dan Budaya persekutuan juga sedang memantau persiapan Dion bagi memastikan persembahannya di AS kelak berbeza daripada aksinya di peringkat kebangsaan.
Edina pula berkata, kumpulan terkenal tempatan At Adau sedang membantu menggubah muzik untuk persembahan Dion yang akan datang dan pada masa sama, mereka masih mencari koreografer bagi mengendalikan gerak tari.
"Kami mendapat muzik yang disunting oleh At Adau, kumpulan tempatan kita yang terkenal. Mereka membantu mengolah muzik kerana Dion akan membuat persembahan selama satu minit dan At Adau membantu kami menyunting muzik itu.
"Selebihnya persiapan sedang berjalan dan kami sedang mencari koreografer berpotensi untuk membantu Dion membuat persiapan tariannya," kata Edina.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/19/kementerian-sokong-pembangunan-bakat-anak-sarawak-snowdan
Pages: [1]
View full version: Kementerian sokong pembangunan bakat anak Sarawak


ADVERTISEMENT