Vellfire Publish time 19-3-2024 08:40 PM

Sindiket seludup dadah guna tong gas tumpas, syabu bernilai RM716,000 dirampas di Miri

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240319/kch-ub190324-jl-dadah-p1.jpg

Khaw (tiga kiri) menunjukkan tong gas yang diubah suai bagi menyembunyikan dadah untuk diseludup ke negara jiran pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
KUCHING: Polis Sarawak berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah menggunakan tong gas ke negara jiran dengan tertangkapnya enam suspek dan rampasan 21.7 kilogram syabu bernilai RM716,000 di Miri pada Ahad lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata, kegiatan itu terbongkar hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sejak dua bulan lepas.
"Satu serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah (di Miri) dan telah menahan dua suspek berada di dalam sebuah kereta di hadapan rumah berkenaan dan empat lagi suspek telah ditahan di dalam kawasan rumah," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Timbalannya Datuk Ibrahim Darus, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman SAC Mat Zani@Mohd
Khaw berkata, kesemua suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun, termasuk dua wanita.
"Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah wang tunai berjumlah RM52,000, barang-barang kemas dianggarkan bernilai RM54,941 dan empat kenderaan yang digunakan suspek.
"Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan dalam serbuan tersebut termasuk dadah sebanyak RM1.02 juta," katanya.
Jelas beliau, modus operandi suspek adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia dan dihantar ke satu lokasi sebelum diseludup ke negara jiran."Hasil siasatan, kita mendapati mereka mengubah suai tong gas dan kemudian memasukkan dadah ke dalamnya.
"Tong gas yang berisi dadah ini tadi akan dibawa ke satu lokasi sebelum dihantar ke negara jiran untuk dijual," katanya.
Dedah beliau, dipercayai permintaan dadah di negara jiran adalah tinggi dan harga pasaran juga lebih tinggi sehingga tiga kali ganda berbanding di sini.
"Disebabkan itu, kita melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa meningkatkan kawalan di sempadan negara untuk mengelakkan berlaku kes-kes seperti ini," katanya.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah.
"Semakan rekod jenayah juga didapati seorang suspek yang mempunyai rekod lampau," katanya.
Siasatan lanjut kes katanya, dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"JSJN akan terus mengesan saki-baki ahli sindiket ini untuk membawa mereka ke muka pengadilan," tegasnya.
Dalam kes berasingan, Khaw memberitahu JSJN Sarawak berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM412,198 di Bintulu.
Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kereta mewah dan jam tangan berjenama yang kedua-duanya dianggarkan bernilai RM187,000.
"Kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan," katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/19/sindiket-seludup-dadah-guna-tong-gas-tumpas-syabu-bernilai-rm716000-dirampas-di-miri
Pages: [1]
View full version: Sindiket seludup dadah guna tong gas tumpas, syabu bernilai RM716,000 dirampas di Miri


ADVERTISEMENT