Vellfire Publish time 19-3-2024 08:07 PM

Kita kongsi negara yang sama, masa depan bergantung kebersamaan rakyat

KOTA BELUD: Masa depan negara bergantung kepada kebersamaan rakyat di sebalik perbezaan kaum dan agama.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, rakyat bertanggungjawab membangun serta menyediakan masa depan yang lebih baik untuk negara ini.
“Di sebalik perbezaan agama, kita berkongsi negara, negeri, daerah serta kampung yang sama, toleransi dan semangat hormat-menghormati sangat penting.
“Negara ini adalah tanggungjawab bersama dan kebersamaan kitalah yang akan menentukan masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, amalan menghadiri acara keagamaan dan kebudayaan adalah satu petunjuk dalam membina masa depan negara.
“Kita mempunyai peranan masing-masing dalam membangun negara ini, selaku menteri dan ADUN, saya menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakan muslim di Kampung Tambulion seperti tradisi saya selama ini, seterusnya menghadiri acara rumah terbuka pada Hari Raya.
“Saya juga sampaikan sumbangan kepada setiap masjid dan surau yang ada di Kadamaian melalui peruntukan ADUN dan bulan hadapan pula saya akan berjumpa dengan pemimpin gereja di seluruh Kadamaian untuk menyampaikan sumbangan yang sama kepada setiap rumah ibadat bukan Islam di Kadamaian.
“Ini adalah komitmen saya untuk melihat semua rakyat boleh membangunkan negara ini walaupun berbeza agama dan kaum,” katanya.
Ewon berkata demikian semasa berucap di majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid, surau dan golongan asnaf peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini.
Dalam majlis terbabit, Ewon menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap surau, manakala masjid Kampung Tambulion menerima RM10,000 selaku tuan rumah.
Sebanyak 130 golongan asnaf juga menerima sumbangan RM150 setiap seorang daripada Yayasan Bank Rakyat, iaitu agensi dalamtanggungjawab Ewon.
Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Laut juga menerima sumbangan RM5,000.
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240319/img1264.jpeg

Ewon menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/19/kita-kongsi-negara-yang-sama-masa-depan-bergantung-kebersamaan-rakyat-ewon
Pages: [1]
View full version: Kita kongsi negara yang sama, masa depan bergantung kebersamaan rakyat


ADVERTISEMENT