Vellfire Publish time 19-3-2024 08:01 PM

Cubaan seludup keluar barang kawalan gagal

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240319/twu-ub19032024-hs-seludupp1.jpg

SELUDUP: Pasukan Maritim berjaya menahan suspek dan merampas barang kawalan berkenaan.
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan di perairan Selatan Kampung Tandu, Felda Sahabat, di sini pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chin berkata, pihaknya mengesan pergerakan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2.26 pagi.
Katanya, bot peronda Maritim Malaysia bertindak mengejar dan memintas bot pam berkenaan untuk pemeriksaan rutin.
“Hasil pemeriksaan awal, bot pam tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh seorang juragan lelaki berusia 29 tahun.
“Pemeriksaan lanjut bot berkenaan membawa 340 kilogram minyak masak dan 40 kilogram beras yang disyaki untuk dijual di negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, juragan bot terbabit didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Akta Kastam 1967.
“Suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.
“Semua barang rampasan termasuk bot pam dan dua buah enjin yang dianggarkan berjumlah RM8,000 itu dibawa ke Pangkalan Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dr. Suzanna berkata, kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dijangka akan lebih aktif ketika bulan Ramadan dan Syawal berikutan permintaan yang lebih tinggi.
Katanya, Zon Maritim Lahad Datu akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot terutama yang berada di lokasi titik panas di perairan ini bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung.
“Maritim Malaysia memohon seluruh masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu untuk memberikan kerjasama melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku atau jenayah di laut.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/19/cubaan-seludup-keluar-barang-kawalan-gagal
Pages: [1]
View full version: Cubaan seludup keluar barang kawalan gagal


ADVERTISEMENT