mattzzx Publish time 19-3-2024 02:34 PM

Wanita warga Thailand antara ditahan, rampas dadah lebih RM850,000

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/GASS_1710828901.jpg
Rampasan pelbagai dadah syabu, ketamin, pil ectasy dan paket plastik berisi serbuk dadah jenis MDMA bernilai RM855,101 dalam tiga serbuan berlainan pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Georgetown: Polis membongkar kegiatan tiga sindiket pengedaran dadah apabila merampas pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM850,000 dalam beberapa serbuan di bandar raya ini antara 14 hingga 17 Mac lalu.

Dalam kesemua operasi itu, seramai sembilan individu termasuk dua wanita ditahan yang mana seorang daripadanya adalah warga Thailand.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, polis menahan dua lelaki dan wanita warga tempatan berusia 36 hingga 41 tahun pada 4 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, penahanan suspek pertama dilakukan di kawasan parkir di Tanjong Tokong, manakala suspek kedua ditahan di sebuah rumah di Gelugor diikuti suspek ketiga di Sungai Dua, di sini.



"Hasil risikan mendapati aktiviti sindiket berkenaan aktif sejak Februari tahun ini yang mana dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. Kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 21 Mac bagi siasatan lanjut.

"Polis turut menyita dua kereta mewah, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM408,832," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed Usuf berkata, operasi kedua membabitkan penahanan lelaki warga tempatan berusia 50 tahun pada 4 petang Jumaat lalu yang disyaki bergerak secara solo dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, polis melakukan serbuan di unit apartmen di Batu Lancang dan Jalan Datuk Keramat, di sini, serta merampas sejumlah dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

"Siasatan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu aktif sejak Oktober tahun lalu bagi pasaran tempatan dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 9,000 penagih jika berjaya dipasarkan.

"Saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis ketamin serta mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM223,315 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Mohamed Usuf berkata, operasi ketiga membabitkan penahanan empat lelaki warga tempatan dan wanita warga Thailand berusia 23 hingga 35 tahun menerusi serbuan di sebuah apartmen di Jelutong, di sini, pada 12.05 tengah hari, kelmarin.

Katanya, menerusi serbuan itu sejumlah dadah jenis MDMA serta erimin 5 dirampas dan saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah AMP, methamphetamine serta Tetra Hydrocannibol (THC).

"Sindiket ini aktif sejak Mac tahun lalu dengan empat warga tempatan mempunyai rekod jenayah serta dadah dan kesemuanya direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM333,188.65," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta dadah Berbahaya Pelucuthakan Harta 1988 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua sindiket adalah berbeza dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui peranan wanita warga Thailand yang ditahan itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071673/wanita-warga-thailand-antara-ditahan-rampas-dadah-lebih-rm850000
Pages: [1]
View full version: Wanita warga Thailand antara ditahan, rampas dadah lebih RM850,000


ADVERTISEMENT