Vellfire Publish time 18-3-2024 07:57 PM

Pemilihan calon guru pelatih harus berhati-hati

Antara kriteria perlu diberi perhatian ialah kekosongan subjek, minat jadi pendidik, sanggup berkhidmat di mana sahaja
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240318/kch-ub180324-pg-guru-p1.jpeg

KULLIN
KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mahu pemilihan calon guru pelatih dilakukan dengan berhati-hati danharus mengikut kriteria penting.
Presidennya Kullin Djayang berkata, beberapa kriteria yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan kekosongan subjek, mempunyai minat sebagai pendidik serta sanggup berkhidmat di mana sahaja di seluruh negara.
Pemilihan calon guru juga tegasnya, harus berdasarkan merit yang lebih baik dalam kalangan pemohon demi menjaga kualiti profesion perguruan.
"STU amat menghargai usaha Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk memperluaskan lagi pengambilan pelatih kepada calon STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) dan matrikulasi.
"Ini akan membuka peluang dan ruang kepada semua calon lepasan peperiksaan awam, bagaimanapun STU berharap IPG di seluruh negara mengambil lebih ramai pelatih tetapi mematuhi kriteria serta berhati-hati," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh mengatakan pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG Kementerian Pendidikan (KPM) diperluas kepada lepasan STPM, STAM dan matrikulasi bagi tahun ini.
Wong dipetik sebagai berkata kementeriannya berusaha memberi peluang dalam memastikan bilangan warga pendidik terus mencukupi.
Mengulas lanjut Kullin berkata dengan pengambilan lebih ramai pelatih, secara tidak langsung akan menambah lagi bilangan guru bagi mengisi kekosongan guru yang agak kritikal ketika ini.
Di samping itu juga katanya, ia dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pelajar lepasan sekolah di negara ini.
"STU juga ingin menegaskan agar penempatan guru terlatih nanti mengutamakan negeri setiap pemohon agar tidak berlaku penolakan penempatan ke negeri lain seperti apa yang berlaku pada tahun lepas.
"Pada 2023 seramai 222 daripada 3,227 orang guru 'one off' menolak untuk ditempatkan ke negeri sarawak," dedahnya.
STU katanya, berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belajar daripada kesilapan seperti itu dalam menguruskan penempatan guru terlatih.
Selain itu ujarnya, penempatan guru di negeri sendiri boleh mengurangkan perpindahan balik ke negeri asal kelak.
"Biarlah mereka berkhidmat di negeri sendiri sehingga mereka menjadi seorang guru yang hebat dan sentiasa berkhidmat untuk anak bangsa sendiri," katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/18/pemilihan-calon-guru-pelatih-harus-berhati-hati
Pages: [1]
View full version: Pemilihan calon guru pelatih harus berhati-hati


ADVERTISEMENT