Vellfire Publish time 18-3-2024 07:51 PM

Ibu bapa diingatkan tidak abai anak-anak dalam kesibukan buat persediaan Aidilfitri

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240318/kch-ub180324-at-fatimah.jpg

Fatimah (berdiri lima kiri, barisan kedua) merakam gambar bersama wakil agensi penerima Sumbangsih Raya 2024.
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengabaikan anak-anak dalam kesibukan membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tegas Fatimah, pengabaian anak-anak sehingga mendatangkan bahaya boleh menyebabkan ibu bapa didenda meskipun tanpa niat.
“Saya teringat satu insiden bulan ini dan satu bulan lepas di mana anak-anak istimewa kita terlepas keluar dari rumah dan tidak tahu jalan pulang ke rumah.
“Ini satu perkara yang sangat berbahaya bagi saya dan ibu bapa terutama yang mempunyai anak kecil istimewa harus pastikan anak-anak selamat dalam kesibukan membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembungkusan Sumbangsih Raya 2024 di Dewan Utama Wisma Wanita di sini hari ini.
Selain keselamatan anak-anak, Fatimah turut mengingatkan kaum wanita khususnya supaya tidak lalai, lupa dan leka soal keselamatan kebakaran semasa membuat kuih, kek dan penyediaan juadah berbuka puasa.
“Kita semua tahu, kaum wanita adalah yang paling sibuk sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri membuat persiapan kuih-muih, membersih rumah dan menyediakan juadah berbuka puasa.
“Tetapi jangan kita lalai, lupa dan leka dalam apa juga tugasan yang kita buat bagi mengelak apa-apa insiden seperti kebakaran,” katanya.
Fatimah turut menasihati kaum wanita supaya berbelanja secara berhemah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana masih ada hari-hari lain selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Ini kerisauan saya dari segi kebakaran, keselamatan anak-anak dan berbelanja secara berhemah,” katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/18/ibu-bapa-diingatkan-tidak-abai-anak-anak-dalam-kesibukan-buat-persediaan-aidilfitri
Pages: [1]
View full version: Ibu bapa diingatkan tidak abai anak-anak dalam kesibukan buat persediaan Aidilfitri


ADVERTISEMENT