Vellfire Publish time 18-3-2024 06:17 PM

PPR berusia lebih 20 tahun bakal jadi cabaran besar kepada negara

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240318/kks-ub180324-ysh-lee1.jpg

LEE
KOTA KINABALU: Semua pihak harus sedar bahawa isu perumahan kos rendah (PPR) yang berusia lebih 20 akan menjadi cabaran besar kepada negara menjelang 2030.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, terdapat PPR yang bukan sahaja sudah berusia 20 tahun malah ada yang lebih 30 tahun.
"Menjelang tahun 2030, kediaman seumpamanya menjadi lebih usang keadaannya sekiranya ia tidak ditangani dengan segera.
"Kebiasaannya bagi rumah pangsa yang berusia lebih 20 tahun ini, ia akan berada dalam keadaan daif.
"Antara isu yang dihadapi ialah isu kurang penyelenggaraan, isu kurang keselesaan terhadap penghuni dan ketiga ialah isu vandalisme yang kerap berlaku di PPR seperti lif dirosakkan ataupun gelung pemadam kebakaran tidak ditempatnya atau pun dirosakkan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, tidak ketinggalan juga isu sampah di mana kutipan sampah tidak diselaraskan dengan baik, tempat sampah yang busuk dan tidak dibersihkan.
Katanya, kesemua perkara ini harus mendapat perhatian kerajaan di mana perlunya ada perancangan yang baik bagi menyelesaikan masalah kawasan PPR bagi menjamin kualiti hidup warga PPR menjelang Malaysia menuju ke arah negara tua pada 2030.
"PPR yang daif juga menimbulkan isu keselamatan dalam kalangan penghuni seperti masalah kebakaran yang berlaku di Flat Sri Sabah, Cheras baru-baru ini."Masalah Vandalisme merupakan satu masalah serius dihadapi penghuni PPR dan perlu ditangani dengan berkesan.
"Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) perlu dilaksanakan di PPR demi keselamatan para penghuni," katanya.
Pada masa ini katanya, PPR dilihat berada dalam keadaan daif dan memerlukan peruntukan mencukupi daripada kerajaan bagi memastikan keadaan sekelilingnya berada dalam keadaan yang lebih selesa dan diselengarakan dengan baik.
Selain mewujudkan peruntukan yang bersesuaian katanya, kerajaan juga perlu menyediakan satu perancangan teratur yang bertujuan mendidik dan mengajar komuniti PPR untuk menjaga kediaman mereka dengan lebih baik pada masa hadapan.
Menurutnya, dalam tahun 2030, Malaysia telah menjadi negara 'tua'. Antara perkara yang boleh diperkasakan bagi memberikan keselesaan buat warga emas ialah menyediakan laluan kerusi roda, laluan pintu yang lebih lebar, kedudukan soket dan suis elektrik yang lebih mudah di capai, serta mengubah tombol pintu kepada tuil pemegang yang lebih mudah digunakan.
"Ini antara elemen yang boleh memudahkan warga tua untuk lebih selesa tinggal di PPR. Lif dan tangga juga perlu sentiasa diberi perhatian agar sentiasa memudahkan pergerakan penghuni-penghuni PPR.
"Setiap perkara berkenaan warga emas dan PPR ini memerlukan satu Pelan Tindakan yang bersesuaian untuk memastikan warga PPR mendapat perhatian dan perlindungan yang sewajarnya," katanya.
Lee berkata, Pelan Tindakan ini diharapkan dapat meninggikan kualiti hidup warga PPR tidak kira menjelang tahun apa pun.
"Kita harus sedar bahawa sesiapa pun yang tinggal di kawasan PPR ini, tidak seharusnya dibiarkan tersadai dan menjadi tempat yang tidak mendapat perhatian.
"Siapa pun yang berada di PPR walaupun mereka dari golongan berpendapatan rendah, harus diberi kesempatan untuk menikmati kualiti hidup yang sebaik-baiknya," katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/18/ppr-berusia-lebih-20-tahun-bakal-jadi-cabaran-besar-kepada-negara
Pages: [1]
View full version: PPR berusia lebih 20 tahun bakal jadi cabaran besar kepada negara


ADVERTISEMENT