mattzzx Publish time 18-3-2024 03:12 PM

KBS pertimbang anjur Sukan Komanwel 2026 bersama Singapura

https://assets.bharian.com.my/images/articles/yuweiuppiirwhhr_1710745682.jpg
Hannah (tengah) ketika sidang media Majlis Pelancaran PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aiman Danial Mohd Hood Aktha

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk Malaysia menjadi tuan rumah bersama Singapura bagi penganjuran Sukan Komanwel 2026 turut berada dalam pertimbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Hannah Yeoh ketika ditanya sama ada Malaysia mengadakan perbincangan dengan Singapura berhubung perkara itu, berkata pihaknya mempertimbangkan semua aspek.

"Saya tidak boleh mendahului Kabinet yang akan bermesyuarat pada Jumaat nanti. Selepas semuanya sudah selesai, kita akan buat pengumuman," katanya ketika sidang selepas Majlis Pelancaran Laluan dan Logo Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Hannah memberi jaminan semua aspek akan dipertimbangkan sebelum kerajaan memutuskan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau sebaliknya.


Katanya, kertas kerja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini mengambil kira pelbagai perspektif dan maklum balas daripada semua pihak.

"Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kertas kerja bagi menganjurkan Sukan Komanwel 2026 akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

"Kami memang mengambil perspektif dan maklum balas daripada semua pihak termasuklah daripada pihak yang menghubungi kita dan pihak yang menulis di media sosial.

"Apa yang paling penting adalah apabila keputusan dibuat, kita beri jaminan bahawa kita sudah pertimbangkan dari semua aspek. Saya percaya kita akan ada perbincangan yang panjang dalam mesyuarat Kabinet minggu ini," katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM), minggu lalu mengesahkan Malaysia ditawarkan bagi menganjurkan temasya berkenaan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Selain Malaysia, Singapura dilaporkan turut ditawarkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Media Singapura baru-baru ini melaporkan Sukan Komanwel Singapura dan Sukan Singapura sedang meneliti tentang kebolehlaksanaan bagi menganjurkan temasya berkenaan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 kini menimbulkan persoalan selepas Victoria, Australia, menarik diri daripada menjadi tuan rumah tahun lalu berikutan peningkatan kos penganjuran daripada AUD2.6 bilion awal (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/03/1224972/kbs-pertimbang-anjur-sukan-komanwel-2026-bersama-singapura
Pages: [1]
View full version: KBS pertimbang anjur Sukan Komanwel 2026 bersama Singapura


ADVERTISEMENT